Thursday, May 26, 2011

Proton Inspira Sebagai Kereta Peronda Polis

SHAH ALAM, 25 MEI 2011 – PROTON Holdings Berhad telah menyumbangkan
sepuluh (10) unit Proton Inspira 1.8 L (manual) kepada pihak Polis
Diraja Malaysia (PDRM) untuk kegunaan pihak Polis dalam melaksanakan
tugas dan memberikan perkhidmatan kepada orang awam. Sumbangan tersebut
turut memperkenalkan model PROTON tersebut untuk dipandu uji oleh pihak
Polis dalam operasi seharian mereka. Ini adalah sebahagian dari usaha
kedua-dua pihak untuk menguji prestasi dan kemampuan Proton Inspira
serta mendapatkan maklumbalas untuk inisiatif PROTON dan Bahagian
Penyelidikan Dan Pembangunan, PDRM dalam membangunkan prototaip kereta
peronda polis dari model Proton Inspira.







Ketua Polis Negara, YDH Inspektor Jeneral Tan Sri Haji Ismail Bin Haji
Omar telah menerima sumbangan kereta peronda polis tersebut daripada
Pengarah Urusan Kumpulan PROTON, YBhg. Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin
Syed Mohamed Tahir dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Litar
Ujian PROTON yang turut dihadiri oleh lebih 200 orang tetamu yang
terdiri daripada pegawai kanan PDRM dan pihak pengurusan PROTON.





Berbeza dengan sesi pandu uji kereta yang biasa dilakukan oleh
pelanggan, pandu uji yang dilakukan oleh pihak Polis bagi mengenalpasti
kesesuaian sesuatu model kereta dalam menepati keperluan tugasan mereka
adalah berbeza. Ini kerana, di samping ujian terhadap prestasi dan
kemampuan serta pemanduan dan pengendalian dalam menangani situasi
operasi sebenar yang mencabar, kereta yang dipandu uji juga harus
diubahsuai mengikut spesifikasi serta dilengkapi peralatan yang
digunakan oleh sebuah kereta peronda Polis.





Justeru, PROTON telah mengambil inisiatif untuk mengubahsuai sepuluh
model Inspiranya menjadi kereta peronda polis sebelum ianya disumbangkan
kepada pihak PDRM. Kereta tersebut telah dilengkapi sistem lampu amaran
dan siren bersepadu, pelekat pembalik cahaya berlogo PDRM dan sistem
telekomunikasi radio bergerak.





“Kami percaya kereta peronda polis merupakan satu keperluan yang amat
penting dalam memantau dan memerangi jenayah. Dalam menyediakan
keperluan ini kepada pihak Polis, hubungan di antara PROTON dan pihak
PDRM bukanlah satu perkara yang baru malah pihak Polis telah menggunakan
kereta Proton sebagai kereta peronda sejak dari zaman Proton Saga yang
pertama dahulu. Hubungan baik ini diteruskan sehingga kini dengan
kerjasama di antara PROTON dan PDRM untuk meneroka pembangunan prototaip
kereta peronda polis (‘Mobile Police Vehicle’) dari model Inspira,”
menurut Dato’ Sri Syed Zainal.





“PROTON sentiasa komited dalam menambahbaik kualiti produknya dengan
setiap model baru yang dikeluarkan. Dalam konteks ini, pihak PDRM
pastinya akan turut berkongsi manfaat daripada usaha penambahbaikan ini
apabila model terbaru tersebut dijadikan kereta peronda. Kami berharap
Proton Inspira, dengan kemampuan prestasinya serta tahap pemanduan dan
pengendaliannya yang mantap, akan dapat memenuhi keperluan dan
kesesuaian demi membantu pihak Polis menjalankan tanggungjawab mereka,”
jelas Dato’ Sri Syed Zainal lagi.





Di majlis penyerahan tersebut, PROTON turut mengumumkan hasrat syarikat
itu untuk berkerjasama dengan PDRM dalam mengurangkan kadar berlakunya
jenayah. Melalui kerjasama ini, PROTON akan melaksanakan beberapa
inisiatif utama seperti melancarkan kempen kesedaran keselamatan kepada
pelanggannya. PROTON juga akan menjalankan kempen untuk mengalakkan
lebih ramai kakitangannya untuk mendaftar sebagai sukarelawan Rakan Cop.
Melalui inisiatif ini, PROTON akan menjemput wakil dari PDRM untuk
memberikan penerangan serta membuka kiosk pendaftaran di kawasan kilang
dan pejabat PROTON serta anak-anak syarikatnya. Setakat ini, keahlian
Rakan Cop di Proton Tanjung Malim telah mencecah seramai 980 orang dan
merupakan jumlah ahli yang paling ramai di antara syarikat-syarikat di
negeri Perak. Di antara faedah-faedah yang diterima oleh ahli-ahli Rakan
Cop ini adalah kemudahan untuk menyalurkan terus maklumat kepada pihak
Polis melalui sistem pesanan sms serta mendapatkan maklumat dan bantuan
segera dari pihak Polis. PROTON juga akan turut menawarkan kesemuanya
cawangan dan premisnya untuk dimanfaatkan dengan sewajarnya bagi
membantu polis dalam memantau kegiatan jenayah.





“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, PROTON mempunyai
tangungjawab sosial korporat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Melalui kempen kesedaran ini, matlamat kami adalah untuk memberikan
kesedaran kepada orang ramai tentang tip-tip berguna seperti cara-cara
menghalang kecurian kereta daripada berlaku. PROTON juga akan membantu
polis dalam menjayakan program Rakan Cop dengan menggalakkan penyertaan
12,000 orang kakitangannya sebagai ahli, dalam usaha untuk melahirkan
lebih. Dengan bilangan kakitangan yang ramai serta bangunan dan premis
di lebih 28 cawangan dan 196 syarikat pengedar di seluruh Negara, saya
percaya PROTON mempunyai kekuatan yang boleh dimanfaatkan, bukan sahaja
untuk membantu Polis untuk memastikan keamanan dan keselamatan awam
terpelihara malahan juga untuk melahirkan lebih ramai warganegara yang
bertanggungjawab. PROTON berbangga dan berbesar hati kerana dapat
membantu pihak Polis dalam usaha memantau dan membasmi kadar jenayah dan
salahlaku di Negara ini,” menurut Dato Sri Syed Zainal lagi.





Majlis penyerahan Proton Inspira tersebut turut diserikan dengan
persembahan demonstrasi istimewa daripada pihak Polis yang menunjukkan
kebolehan Inspira dalam situasi yang memerlukan kecekapan pemanduan,
pengendalian serta prestasi kelajuan yang tinggi.







sumber

0 komentar:

Post a Comment


Top