Sunday, May 22, 2011

Kisah Bahasa Melayu Di Jepun









Kulit Buku Marai-Go Yon Shu-Kan

 


SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu,
demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada
awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih dari
200 buah.



Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis
Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut
sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah
menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian
menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang
Pasifik.



Essei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales
from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Lalu disiarkan gambar
salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912,
berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.



Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun
merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka
ialah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur.



Sebilangan dari mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga
yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa
Melayu digalakkan.



Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting
kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh
Inggeris dan Belanda."

Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun.
Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke
Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi
kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.



Moriyama menambah: "Oleh kerana tiada guru Jepun boleh mengajar bahasa
Melayu di sekolah maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun
untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris
ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima guru Melayu
datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun
di Tokyo."



Lantas disebut nama salah seorang dari mereka. Bachee bin Wan Chik (atau
Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa
Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurnia
bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.



Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon
shu-kan (bahasa Melayu dalam Ampat Minggu) yang terbit pada tahun 1937.
Ia kemudian diulang cetak hingga 30 kali.



Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama
gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti
Tokyo.

Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan
perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang
dijajah oleh Belanda.



Diperturunkan



Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula.



Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita dari Hikayat
Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.



Pada satu peringkat lain diperturunkan kata-kata mengenai harimau:
"Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama
sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."



Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu
beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita beliau akhirnya memilih
Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.



Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan
Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat menyurat
kedua menggunakan tulisan Jawi.



Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir
Pelangi di Johor Bahru. Baginda menulis: "Sahabat saya Marquis
Tokugawa." Selanjutnya pujian dari Baginda pada Tokugawa kerana
menggunakan bahasa Melayu yang baik.



Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya
di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim
mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana
dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga
belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.



Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah
tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajar di
sekolah-sekolah yang dulu mengajar bahasa Inggeris.



Oleh Mazlan Nordin

Sumber Utusan Malaysia ( ARKIB : 09/05/2010 )













0 komentar:

Post a Comment


Top