Tuesday, May 24, 2011

Nostalgia : Pengacara Kelab Kanak-kanak Angkasapuri Di Bunuh





Laporan akhbar Harian Metro Jun 1991


PEMBUNUHAN pengacara Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri Radio Televisyen
Malaysia (RTM), Intan Yusniza Mohd Yunus dan ibu angkatnya pada Jun
1991, menarik perhatian umum sehingga ada pihak menawarkan RM20,000
kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh.



Tawaran dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM10,000
selain masing-masing RM5,000 oleh Umno Seputih dan seorang individu yang
terkesan dengan kejadian tragis itu.



Ganjaran ditawar bagi memastikan penjenayah ditangkap lantaran perbuatan
itu tidak berperikemanusiaan kerana membabitkan kanak-kanak kecil
selain khuatir keselamatan penduduk lain turut terancam.



Siasatan awal terhadap keadaan kedua-dua mayat mangsa membawa kepada
andaian yang ibu angkat Intan Yusniza, Haniza Ismail, 56, dipercayai
dirogol manakala gadis sunti itu pula berkemungkinan dicabul
kehormatannya sebelum dibunuh di rumah mereka di Jalan Kuchai Lama,
Kuala Lumpur.



Keputusan awal bedah siasat yang dilakukan pada mayat mangsa mendapati
ada lima kesan kecederaan di kepala Allahyarham Haniza manakala pada
jasad Intan Yusniza pula dua kesan kecederaan di kepala akibat hentakan
kuat benda keras.



Siasatan awal juga mendapati kedua-dua mangsa mungkin dibunuh antara jam
4 hingga 6 pagi hari Ahad dan orang yang terbabit dalam pembunuhan
dipercayai masuk ke dalam rumah melalui cara baik kerana tiada kesan
pecah rumah ditemui pada kediaman mangsa.



Intan dan ibu angkatnya didakwa penduduk setempat dilihat kali terakhir
dalam sebuah van, kira-kira jam 1.15 pagi Ahad iaitu kira-kira 30 jam
sebelum mayat mereka ditemui pada jam 8.30 pagi Isnin.



Seorang penduduk mendakwa, ketika sampai di sebuah warung di kawasan
perumahan Penempatan Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama, Allahyarham Haniza
melambai-lambaikan tangannya kepada beberapa jiran yang masih berada di
situ.



Kes pembunuhan itu segera mendapat liputan meluas media massa yang
antara lain mendedahkan Intan tinggal bersama ibu angkatnya itu sejak
kecil selepas diserahkan ibu kandungnya sebaik dilahirkan.



Laporan akhbar berhubung perkembangan kes ketika itu juga memetik
sumber-sumber berkaitan menyatakan sepanjang tempoh 24 jam sejak mayat
mangsa dijumpai, polis menerima petunjuk penting dan mengesan empat
lelaki disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.



Empat lelaki itu dipercayai penghuni Penempatan Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama, tempat dua beranak itu tinggal.



Sejak kejadian itu mula heboh dan menarik perhatian ramai, seorang
lelaki yang tinggal tidak jauh dari rumah kedua-dua mangsa mula
menghilangkan diri.



Pada masa sama, rantai leher berukir nama INTAN, dipercayai milik gadis
sunti itu selain loket milik Haniza dilaporkan digadai di sebuah kedai
pajak gadai oleh seorang lelaki yang membelinya daripada seorang lelaki
lain.



Lelaki yang menggadaikan rantai dan loket itu menghubungi polis selepas
terbaca kes pembunuhan Intan dan Haniza dalam akhbar lantaran khuatir
dia turut dituduh bersubahat dalam kes itu. Lelaki itu menggadai rantai
dan loket yang dipercayai milik mangsa tanpa menyedari rantai emas itu
mungkin barang kemas yang dicuri ketika pembunuhan itu.



Akhirnya, pada 1 Julai 1991 iaitu seminggu selepas penemuan mayat
mangsa, polis Cawangan Jenayah Berat berjaya menahan seorang lelaki
berusia lingkungan 20-an kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan
berkenaan.







MENTARI pagi sudah lama muncul dan menyinari kawasan perumahan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Isnin, 24 Jun 1991.



Beberapa penduduk yang melalui berhampiran kedai runcit yang diusahakan
Hanizah Ismail, 56, berasa hairan tatkala melihat premis itu masih belum
dibuka walaupun jam sudah menunjukkan kira-kira 8 pagi.



Aneh, seolah-olah kedai runcit yang pegun itu tidak akan dibuka terus
pada hari itu; tidak seperti hari-hari sebelumnya, Hanizah pasti sudah
lama memulakan perniagaannya menjelang waktu berkenaan.



Jiran wanita terbabit mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lalu
bergegas ke rumah Hanizah yang terletak berhampiran. Pintu rumah
pengusaha kedai runcit itu diketuk dan nama wanita itu dipanggil
berulang kali namun tiada sebarang jawapan diterima.



Bersama dua lagi jiran lain, mereka kemudian menjenguk ke dalam rumah
Hanizah melalui tingkap cermin hadapan yang tidak berkunci.



Pandangan mereka segera menangkap sesusuk tubuh yang terbaring di ruang
tamu bagaikan sedang tidur. Debaran mula mengasak dada tatkala mereka
mula menyedari yang jasad itu adalah Hanizah malah tubuh wanita itu
dihurungi semut.



Curiga mula membenih di benak minda masing-masing lalu sekali lagi
mereka melaung memanggil nama wanita itu. Bagaimanapun, jasad Hanizah
tetap tidak bergerak seolah-olah tidak lagi mendengar laungan lantang
mereka.



Cemas melihat keadaan itu, jiran wanita terbabit segera meminta
pertolongan seorang penduduk lelaki yang berada berhampiran. Lelaki itu
menjenguk ke dalam dan mendapati jasad Hanizah sudah kaku dan diharungi
semut. Akan tetapi, lebih mencemaskan apabila pandangannya segera
menangkap keadaan tubuh wanita itu yang dalam berlumuran darah.



Tidak lama selepas itu, pintu rumah terbabit berjaya dibuka dan
sepasukan polis mula masuk memenuhi ruang rumah terbabit bagi
menjalankan siasatan.



Di samping jasad Hanizah, turut ditemui adalah mayat anak angkatnya
berusia 12 tahun, Intan Yusniza Mohd Yusof. Kedua-dua beranak itu mati
dibunuh di dalam rumah berkenaan dengan kepala kedua-dua mangsa
berlumuran darah akibat cedera parah dihentak objek tertentu. Polis juga
mendapati barang kemas dan wang tunai milik mangsa, hilang.



Mereka kemudian diberitahu yang Allahyarham Hanizah tinggal di situ
bersama Intan Yusniza hampir empat tahun lalu iaitu selepas suami wanita
terbabit yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan, meninggal
dunia pada 1986.



Mayat Hanizah dan Intan Yusniza kemudian dihantar ke Hospital Kuala
Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di tanah
perkuburan Islam Damansara, kira-kira jam 10 malam, hari sama.



Demikianlah bermulanya kes pembunuhan yang menarik perhatian ramai pihak
sekitar 1991 - Intan Yusniza, murid darjah enam Sekolah Kebangsaan
Salak Selatan yang juga pengacara tetap rancangan Kelab Kanak-kanak
Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM), mati dibunuh bersama ibu
angkatnya.

0 komentar:

Post a Comment


Top