Saturday, May 21, 2011

Nostalgia : Insiden Gajah Menyerang Kereta Api







ZAMAN sebelum dan selepas merdeka, ketenteraman negara sering diganggu,
termasuk ancaman pengganas komunis yang menuntut hak untuk memerintah
negara melalui kekerasan dan kekejaman.



Mereka melakukan pelbagai ancaman seperti memusnahkan harta benda,
kemudahan awam, perhubungan seperti jalan raya, jambatan serta laluan
kereta api. Semuanya bertujuan menakutkan rakyat serta melumpuhkan
kekuatan pasukan keselamatan.



Namun, di sebalik kejadian itu, sistem perkhidmatan kereta api yang kini
dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pernah beberapa kali
melalui serangan luar jangkaan yang mengakibatkan kematian dan
kerosakan.



Serangan luar jangkaan itu ialah daripada sekumpulan gajah yang naik
minyak dan mengamuk dengan menyerang kenderaan yang meluncur laju di
landasan, semata-mata mahu membalas dendam termasuk kejadian yang
berlaku kira-kira 114 tahun dulu.



Kejadian itu kekal dalam lipatan sejarah KTMB hingga sekarang dan juga
sejarah negara amnya membabitkan perjalanan kereta api penumpang dari
Ipoh, Perak menuju ke Kuala Lumpur.








Tapak peringatan lokasi kejadian gajah merempuh keretapi



Serangan itu berlaku pada 1894, apabila kereta api wap membawa tiga
gerabak penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada saudagar serta
tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi perlombongan di
Perak.



Sebaik tiba di Teluk Anson (kini Teluk Intan), kereta api yang dipandu
seorang warga Inggeris itu diserang seekor gajah jantan yang sememangnya
menunggu di situ bersama kumpulan sekawan gajah lain lalu merempuhnya
secara berdepan.



Pegawai Muzium KTMB, Kamalul Arifin Muhamad, 56, berkata, akibat
rempuhan itu, kereta api tergelincir dan beberapa gerabak terkeluar dari
landasan.



Mengikut penduduk kampung, dua pekerja kereta api warga India yang
berada di dalamnya meninggal dunia, mungkin akibat kecederaan ketika
kereta api terbalik.






Seorang lelaki Inggeris berdiri di atas bangkai gajah jantan yang mati
selepas merempuh keretapi di Teluk Intan, Perak pada 1894.


Gajah jantan itu memang besar, lebih tinggi daripada gerabak kereta api.
Mengikut cerita lisan, kami percaya gajah jantan itu mengamuk sebab
sebelum kejadian itu, anaknya mati dirempuh kereta api di kawasan
sama,katanya.



Beliau berkata, gajah memang dikenali antara binatang yang memang
pantang atau terlalu sensitif melihat lampu pada waktu malam. Secara
kebetulan, kejadian itu juga berlaku pada waktu senja, antara jam 5
hingga 7 petang dan tempat kejadian juga memang gelap kerana terletak di
kawasan hutan.



Kamalul berkata, ketika kejadian, kereta api berkuasa wap itu memang
dipandu laju antara 40 hingga 50 batu sejam (kilometer) dan ia dianggap
laju bagi keupayaan enjin kelas wap.



Akibat rempuhan kuat secara berdepan, gajah jantan itu mati di tempat
kejadian. Tengkorak kepala gajah disimpan di Muzium Taiping, Perak dan
tulang pahanya masih disimpan muzium KTMB manakala gadingnya difahamkan
dibawa pulang ke England.



Tulang paha gajah jantan setinggi kira-kira hampir semeter itu masih
disimpan elok dan dipamerkan di ruang legar mini muzium KTMB di ibu
Pejabat KTMB, Kuala Lumpur.



Pengunjung boleh melihat sendiri tulang itu serta mendapat maklumat
ringkas mengenai kejadian. Di situ juga terdapat gambar seorang saudagar
Inggeris berdiri di atas bangkai gajah di tempat kejadian.



Mini muzium KTMB itu ditubuhkan sejak tahun lalu sempena sambutan
kemerdekaan negara ke-50 tahun bagi memberi maklumat dan peluang kepada
penumpang mendapatkan maklumat sejarah KTMB serta pelbagai peralatan
yang pernah digunakan.



Mengulas mengenai persiapan pengurusan menghadapi kejadian seperti itu
dan juga serangan komunis, Kamalul berkata, pada awal 1950-an, KTMB
menggunakan khidmat pasukan peninjau dikenali Armor Wichan Trolley yang
bergerak pada kedudukan kira-kira 500 meter di depan kereta api utama.



Jika berlaku masalah kerosakan, hadangan binatang atau serangan komunis,
kenderaan itu yang lengkap bersenjata akan menanganinya membolehkan
kereta api utama sempat berhenti,katanya.



Namun, katanya ketika ini, masih juga berlaku kejadian kereta api
merempuh gajah melintas landasan terutama di laluan ke Pantai Timur dan
terbaru berlaku berhampiran Kuantan, Pahang. Seekor gajah yang dirempuh
pada 27 Mei 2007 kira-kira jam 4.50 pagi lalu lumpuh selama dua hari
sebelum mati.



INFO: Kereta api KTMB



* Gajah amat sensitif melihat cahaya lampu atau mendengar bunyi

hon kereta api.



* Kereta api wap yang terbabit dalam rempuhan gajah itu sama seperti model kereta api yang dipamerkan di Muzium Negara.

0 komentar:

Post a Comment


Top