Saturday, May 21, 2011

Nostalgia : Tragedi Terminal Feri Runtuh 31 Julai 1988






Liputan Buletin Utama mengenai kejadian tersebut. Pelantar Pangkalan
Sultan Abdul Halim runtuh ragut 32 nyawa, cederakan 1,700 mangsa.




Sudah lebih 23 tahun (1988-2011) berlalu sejak pelantar terminal feri
Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, Pulau Pinang, runtuh.



Suasana tenang dengan tiupan lembut bayu laut sesekali mengutuskan
kedamaian di kawasan sekitar terminal itu ketika ini; kebanyakan
pengunjung terutama generasi muda mungkin leka memerhatikan panorama
indah sekitar kawasan berkenaan sementara menantikan feri merapati jeti.


Mereka mungkin tidak menyedari apa-apa, tidak mengetahui yang sekitar 18
tahun lalu, terminal feri itu menjadi saksi tragedi hitam yang
mengorbankan 32 nyawa serta mencederakan kira-kira 1,700 mangsa lain.



Pelantar jeti yang dibina pada 1956 itu runtuh dipercayai akibat terlalu
berat untuk menampung beban kemasukan ribuan pengunjung yang ingin
menyeberang ke Pulau Pinang sejak pagi hari kejadian.



Dari Stesen Bas Butterworth sehingga ke kawasan jeti yang terletak
bersebelahan, ribuan orang sudah bersesak untuk menaiki feri; mereka
ingin menyeberang untuk melihat perarakan, yang antaranya mempamerkan
patung besar Buddha yang dikatakan hanya diarak setiap 60 tahun sekali.



Hari itu adalah hari keraian di Pulau Pinang, dua perayaan masing-masing
diraikan penganut Kristian dan Buddha disambut pada waktu sama.



Di bahagian pulau, sambutan perayaan Kwan Yin (Dewa Pemurah) pada malam
31 Julai yang diadakan sekali setiap 60 tahun mengundang puluhan ribu
penganut Buddha tempatan dan luar negara seperti Singapura, Hong Kong
dan Taiwan. Manakala di Bukit Mertajam, Seberang Prai; pula penganut
Kristian merayakan sambutan Pesta St Anne.



Keadaan itu menyebabkan jambatan Pulau Pinang ditutup kepada kenderaan
awam untuk mengelakkan kesesakan ketika perarakan berlangsung menjadikan
satu-satunya pintu masuk ke Georgetown ialah feri.



Bagi mereka yang ingin ke pulau, kehadiran pengunjung yang dianggarkan
lebih 10,000 orang memaksa pihak bertanggungjawab menutup pintu masuk ke
kawasan terminal dan ia dikawal pasukan keselamatan lantaran sudah
terlalu sesak.



Kawasan untuk pejalan kaki di tingkat satu terminal turut ditutup tetapi
suasana orang yang terlalu ramai menyebabkan polis yang berkawal ketika
itu tidak dapat menyekat kemasukan mereka dalam suasana bersesak-sesak.



Keadaan mulai menjadi kelam kabut apabila feri dari Pulau Pinang mula
merapati jeti dengan orang ramai yang berada di terminal berkenaan terus
meluru ke hadapan. Tidak lama selepas itu, kawasan berkenaan bergegar
dan pelantar jeti mulai runtuh seterusnya bermulalah permulaan bagi
babak tragedi hitam itu.



Peristiwa itu dengan cepat mendapat liputan media massa dalam dan luar
negara malah ia menjadi detik bersejarah dalam rentetan tragedi demi
tragedi yang tercatat berlaku negara ini.



Kini, mungkin generasi muda termasuk yang dilahirkan di Pulau Pinang
sudah tidak mengingati lagi kejadian itu. Masakan tidak, 18 tahun
terlalu cepat meniti waktu; seorang bayi ketika itu juga sudah berubah
menjadi dewasa.



Bagaimanapun, bagi mereka yang terbabit dalam kejadian berkenaan, setiap
kali melalui kawasan itu; perasaan gerun, sedih dan pilu mungkin masih
menyelubungi mereka seolah-olah ia akan terus kekal sebagai kenangan
pahit dalam ingatan masing-masing, sepanjang hayat mereka.













Tergamam lihat jeti runtuh hempap beribu manusia






Kelihatan kenderaan yang remuk teruk dihempap pelantar terminal feri yang runtuh



Tiba-tiba saja penduduk berdekatan terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, Pulau Pinang tergamam!



Satu bunyi kuat yang memenuhi ruang udara kawasan itu sekitar jam 4.40
petang pada 31 Julai 1988, serta merta menyebabkan pandangan mereka
teralih ke arah terminal berkenaan dan sebaik menoleh, mereka tergamam
melihat kejadian yang sama sekali tidak disangka.



Pelantar menunggu feri di jeti itu roboh! Beribu-ribu orang yang
bersesak di atas pelantar setinggi lima meter itu tergelongsor jatuh
manakala tiang dan kayu binaan berat menghempap jasad masing-masing!



Sedetik kemudian, bergema suara jeritan ribuan mangsa yang kesakitan
termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua. Suasana mula bertukar
kelam-kabut, masing-masing hilang punca dan cemas.



Ramai mangsa terperangkap dihempap kayu pelantar. Jasad terbaring di
mana-mana dan darah terpercik ke merata arah. Berpuluh mangsa terjatuh,
maut di situ juga.



Bunyi riuh rendah dan hingar dan kalut apabila orang ramai kelam-kabut
ingin keluar segera dari kawasan berkenaan kerana menyangka pelantar itu
akan terus runtuh dan tenggelam di dalam air.



Pelbagai pemandangan ngeri dan menyayat hati kelihatan di tapak runtuhan
itu. Seorang pekerja jeti yang sebelum itu sibuk melarang orang ramai
memasuki kawasan berkenaan kerana sudah terlalu sesak, kelihatan
tertiarap dihempap tiang terminal sebesar pemeluk.



Dada pekerja itu sudah menjadi leper dan tidak boleh digerakkan sama
sekali, cuma kepalanya saja tertoleh ke kiri ke kanan dan meminta tolong
dengan suara yang amat sayu.



Dari satu sudut lain, kelihatan kejadian ngeri apabila ada mangsa yang terputus kaki malah tulang keringnya jelas kelihatan.



Seorang pelancong yang sebelum itu sibuk dengan kamera videonya merakam
pemandangan kesesakan pengunjung yang ingin memasuki Pulau Pinang bagi
menyertai keraian di sana, dilihat berlumuran darah di kepalanya,
mungkin akibat terhantuk ketika gegaran berlaku.



Ada juga mayat dalam keadaan amat mengerikan, tulang mereka patah-riuk
seakan-akan boleh dipusing semua sendinya dengan mudah. Darah di merata
tempat.



Seorang lelaki berjaya bergayut pada papan di tingkat satu, tetapi
seorang lagi bergayut di kaki lelaki tadi. Akhirnya, tanpa dapat
menampung beban berat, kedua-dua lelaki itu jatuh ke tingkat bawah iaitu
di kawasan kenderaan dan cedera parah.



Kelihatan juga seorang mangsa yang berlumuran darah berlari terhoyong-hayang meminta tolong.



Keadaan muka kebanyakan orang yang berada dalam kawasan kejadian itu
juga agak hitam kerana terkena habuk dan sawang yang jatuh dari atas
bumbung.



Apabila lebih ramai orang mulai pulih daripada keadaan panik, mereka
yang berada di tingkat atas mulai berteriak memberi semangat dan
kata-kata perangsang kepada mereka yang berada di tingkat bawah,
khususnya mereka yang tidak dapat bergerak kerana tersepit di celah
runtuhan kayu dan kenderaan.



Beberapa pihak yang terselamat dan pihak yang berada berhampiran mula bergegas ke tempat runtuhan bagi menghulurkan pertolongan.



Seorang lelaki yang tidak luka mendukung seorang wanita tua yang cedera
manakala belakangnya pula mendukung seorang kanak-kanak lelaki. Dengan
dua mangsa itu, dia terus meluru keluar ke tempat selamat bersama ribuan
mangsa lain.



Pasukan penyelamat tiba di kawasan tragedi beberapa ketika kemudian.
Pihak yang terselamat dan pihak berkuasa segera menerpa dan mengangkat
mangsa yang terkorban. Ada yang mengangkat mayat terperangkap dalam
kejadian itu sambil menitis air mata mengenangkan korban yang begitu
banyak.



Stesen bas Butterworth penuh dengan mangsa yang berjaya diselamatkan.
Mereka menenangkan diri di situ, selepas berjaya keluar dari lokasi
tragedi. Tidak seperti kawasan lokasi yang terletak berhampiran, suasana
di stesen bas itu hening.



Ramai memilih untuk tidak mengeluarkan suara sebaliknya terus termenung
seolah-olah masih tergamam dengan kejadian tidak disangka itu. Dalam
keheningan, satu kejadian hitam dicatat dalam sejarah tragedi negara
ini, pada hari itu.





Punca Kejadian di Pengkalan Sultan Abdul Halim







Puncanya kesesakan teruk di Pengkalan Sultan Abdul Halim ini kerana ada
dua perayaan serentak melibatkan kaum Cina iaitu Pesta Dewi Kwan Yin di
Georgetown dan sambutan ulang tahun Gereja St Anne di Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.



Perarakan kereta berhias diadakan di Padang Kota Lama dan di Padang Kota
Baru serta melalui jalan-jalan utama di bandar Georgetown.



Patung-patung puteri dewi ini diarak di sepanjang jalan berlampu
warna-warni di tengah-tengah bandar raya pada hari Ahad malam 31 Julai
1988.



Penganut agama Buddha dari kalangan kaum Cina terpanggil untuk hadir
kerana ia diadakan 60 tahun sekali saja mengikut kalendar Cina (sekali
seumur hidup) dan perayaan ini dipercayai membawa tuah kerana Kwan Yin
bermaksud ‘Dewi Pemurah’ . Pelancong dari Singapura, Hong Kong dan
Taiwan turut datang ketika itu.



Gereja St Anne di Bukit Mertajam juga mengadakan pesta besar-besaran
sempena ulang tahunnya. Ramai kaum Cina menganut agama Kristian berdoa
di gereja ini pada pagi Ahad dan petangnya mereka bergerak ke Pulau
Pinang untuk melancong dan melakukan upacara keagamaan Buddha.



Jambatan Pulau Pinang yang dibuka pada 1985 tidak dapat menampung
kenderaan awam. Ramai yang memilih ke pulau untuk menikmati keindahan
Selat Butterworth, menikmati keindahan matahari merah terbenam dan
seterusnya berjalan kaki ke Padang Kota.



Pangkalan Sultan Abdul Halim dibina pada 1956 tidak mampu menampung
‘serbuan’ 10,000 penumpang. Tiangnya daripada besi kongkrit sementara
lantai dari papan tebal. Gelegar lantai, pagar dan dinding daripada besi
tumpat, melintasi ruang laluan kereta di sebelah bawah.



Pangkalan ini ada dua tingkat. Tingkat bawah untuk laluan kenderaan yang
keluar dan masuk. Tingkat atas pula untuk laluan penumpang dari Stesen
bas Butterwoth – keluar dan masuk.



Jam 4.40 petang itu, gelegar besi jambatan terminal bengkok dan patah.
Lantai-lantai papan turut roboh. Dinding besi dan bumbung roboh ke
bawah. Penumpang bahagian atas menggelongsor dan terhimpit oleh tiang
dan pelantar papan. Kenderaan di bawah remuk.



sumber

0 komentar:

Post a Comment


Top