Tuesday, May 24, 2011

Nostalgia : Titanic - Bahagian 1




Titanic dalam pelayaran pertama



RMS Titanic (jugaSS Titanic) merupakan yang kedua dari tiga kapal
penumpang yang bertujuan mengawal perniagaan perjalanan merentasi Lautan
Atlantik. Dimiliki oleh White Star Line dan dibina di limbungan Harland
and Wolff, Titanic merupakan kapal wap penumpang terbesar di dunia pada
masa pelancarannya. Semasa pelayaran pertama Titanic, ia berlanggar
dengan aisberg pada jam 11:40 PM (waktu kapal) pada pagi Ahad 4 April
1912, dan tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua jam empat puluh minit
kemudian iaitu pada jam 2:20 AM pagi Isnin.



Bencana tersebut mengakibatkan kematian lebih 1,500 orang, menjadikannya
sebagai bencana laut terburuk semasa aman dalam sejarah dan paling
termashyur sehingga kini. Titanic dilengkapi dengan teknologi paling
maju pada masa itu dan orang awam percaya bahawa ia “tidak mungkin
tenggelam”. Ia amat mengejutkan bagi orang ramai bahawa walaupun dengan
teknologi moden dan anak kapal yang berpengalaman, Titanic masih
tenggelam dengan jumlah kematian yang tinggi. Keghairahan media awam
mengenai mangsa terkenal Titanic, legenda mengenai apa yang berlaku di
atas kapal, mengakibatkan undang-undang laut ditukar, dan penemuan
bangkai kapal pada 1985 oleh pasukan yang diketuai oleh Jean-Louis
Michel dan Robert Ballard menjadikan Titanic kekal terkenal pada
tahun-tahun berikutnya.





Pembinaan









Kapal Titanic merupakan kapal penumpang kepunyaan White Star Line,
dibina di limbungan Harland and Wolff di Belfast, Ireland. Kapal ini
direka untuk menyaingi kapal milik syarikat Cunard Line iaitu Lusitania
dan Mauretania. Titanic, bersama kapal saudaranya kelas-Olympic, Olympic
dan yang akan dibina Britannic, pada asalnya dinamakan Gigantic yang
bertujuan untuk menjadi kapal paling mewah dan terbesar yang pernah
dibina. Pembinaan RMS Titanic dibiayai oleh hartawan Amerika, J.P.
Morgan dan syarikatnya International Mercantile Marine Co., bermula pada
31 Mac 1909.





Badan kapal Titanic dilancarkan pada 31 Mei 1911, dan
kelengkapan dalaman disiapkan pada 31 Mac tahun berikutnya. Titanic
mempunyai ukukran sepanjang 269 meter (882 kaki 9 inci) dan 28 meter (92
kaki 6 inci) lebar, seberat 46,328 tan kasar, dan ketinggian dari paras
air ke geladak setinggi 18 meter (60 kaki). Walaupun ia melitupi lebih
banyak ruang dan dengan tan kasar yang lebih, badan kapal Titanic adalah
sama panjang dengan kapal Olympic.



Titanic dilengkapi dengan dua enjin
bersetentangan empat silinder, tiga pembesaran, enjin wap terbalik dan
satu turbin Parsons bertekanan rendah yang menggerakkan tiga kipas.
Terdapat 29 dandang yang dipanaskan oleh 159 pendiang arang batu yang
mampu menghasilkan kelajuan sehingga 23 knot (43 km/j). Hanya tiga
daripada empat serombong kapal setinggi 19 meter (63 kaki) yang
berfungsi; serombong keempat yang digunakan sebagai pengudaraan (sengaja
ditambah bagi menampakkan kehebatan kapal itu).



Kapal Titanic mampu
membawa 3,547 penumpang dan anak kapal dan disebabkan ia membawa surat,
namanya diberikan penambahan awalan Kapal Surat DiRaja (Royal Mail Ship)
(RMS) atau (Royal Mail Steamer) dan juga sebagai kapal wap - SS (Steam
Ship). Untuk masa itu, kemudahan dan kemewahannya tidak dapat
ditandingi. Ia menawarkan kemudahan seperti kolam renang, gymnasium,
mandian Turki, perpustakaan dan gelanggang squash. Bilik umum kelas
pertama dihiasi indah dengan panel kayu yang meluas, perabot mahal dan
hiasan indah yang lain. Kapal tersebut turut menawarkan tiga lif untuk
kegunaan penumpang kelas pertama dan, satu inovasi pada masa itu, satu
lif bagi penumpang kelas dua.



Titanic dianggap kemuncak senibina laut dan pencapaian teknologi. Ia
dianggap oleh majalah Pembina Kapal Ship Builders sebagai "hampir tidak
mungkin tenggelam." Titanic dibahagikan kepada 16 ruang kedap air dengan
pintu yang dikawal oleh kunci magnetik dan akan diturunkan hanya dengan
menekan satu suis dari dek anjung kapal; bagaimanapun, pembahagian
(bulkhead) tidak merentangi keseluruhan ketinggian geladak (hanya
sehingga Dek-E). Titanic mampu terapung dengan sebarang dua ruang tengah
dipenuhi air atau empat bahagian pertama dipenuhi air; sekiranya lebih
dari itu, ia akan tenggelam.





Pelayaran pertama









Kapal Titanic memulakan pelayaran pertamanya dari Southampton, England,
untuk perjalanan ke Bandar New York, New York, pada Rabu, 10 April 1912,
di bawah kendalian Kaptain Edward J. Smith. Ketika Titanic bergerak
meninggalkan pelabuhan, kuasa sedutan yang dihasilkan oleh kapal
tersebut menyebabkan kapal penumpang New York, yang berlabuh
berhampiran, putus tambatan dan ditarik begitu hampir (sekitar 4 kaki)
dengan Titanic sebelum kapal tunda menunda New York dapat mengelak.
Kejadian tersebut melewatkan Titanic berlepas satu jam dari jadual
sebenar. Selepas menyeberangi Selat Inggeris, Titanic berhenti di
Cherbourg, France, untuk menurunkan dan mengambil penumpang tambahan dan
berhenti sekali lagi di Queenstown (sekarang ini dikenali sebagai
Cobh), Ireland, sebelum meneruskan pelayaran ke New York dengan 2,223
penumpang.



Titanic mempunyai tiga bahagian kelas penumpang yang diasingkan. Kelas
ketiga yang juga dikenali sebagai steerage, terdiri daripada kabin kecil
di dek bawah, diduduki kebanyakannya oleh pendatang yang mengharapkan
kehidupan lebih baik di Amerika. Kabin dan bilik umum kelas kedua yang
terletak di belakang kapal adalah sama dengan kemudahan kelas pertama di
kapal-kapal yang lain. Kebanyakan penumpang kelas kedua pada asalnya
menempah kelas pertama di kapal yang lain tetapi disebabkan mogok arang
batu, mereka dipindahkan ke Titanic. Kelas pertama merupakan bahagian
paling mewah di atas kapal.



Sebahagian daripada orang yang terkenal turut belayar sebagai penumpang
kelas pertama. Ini termasuk jutawan John Jacob Astor dan isterinya
Madeleine Force Astor; pemilik kilang Benjamin Guggenheim; pemilik Macy,
Isador Straus dan isterinya Ida; jutawan Denver, Margaret "Molly"
Brown; Sir Cosmo Duff-Gordon dan isterinya, pereka fesyen, Lady Lucille
Duff-Gordon; George Elkins Widener dan isterinya, Eleanor; John Borland
Thayer, isterinya Marian dan anak mereka yang berusia tujuh belas tahun,
Jack; wartawan William Thomas Stead; Countess of Rothes; pembantu
presiden U.S. Archibald Butt; pengarang dan sosialit, Helen Churchill
Candee; pengarang Jacques Futrelle, dan isterinya May, dan rakan mereka,
pengarah Broadway Henry dan Irene Harris; pelakon wanita filem bisu
Dorothy Gibson; dan yang lain. Turut bersama di kelas pertama adalah
pengarah urusan White Star Line J. Bruce Ismay yang mencadangkan Titanic
dan pembina kapal Thomas Andrews, yang turut bersama bagi memantau
sebarang masalah dan menilai prestasi keseluruhan kapal baru tersebut.




0 komentar:

Post a Comment


Top