Sunday, May 22, 2011

Nostalgia : Penjara Pudu





Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal
terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah
seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut telah dibuat secara
berperingkat dan telah siap sepenuhnya pada tahun 1895.



Tembok penjara telah mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada bulan
Ogos 1892. Tembok ini dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen
yang diimport dari negeri koloni British. Kos bagi pembinaan tembok ini
sahaja berjumlah RM 15,360.90 (harga pada tahun 1800an).





Bagi blok pentadbiran dan dapur pula, ia mula dibina pada tahun 1892
dengan kos pembinaan sebanyak RM28,700.00 dan RM 3,775.00 (harga pada
tahun 1800an). Pada asalnya bangunan pentadbiran terdiri dua tingkat
yang menempatkan pejabat "Gaoler", pejabat kerani, stor, bilik
pemeriksaan dan bilik pengawal.



Reka bentuk untuk dapur penjara adalah menyerupai dapur "pauper
hospital". Bangunan dapur ini mengandungi sebuah stor dan bilik timbang.













Sebelum bangunan utama penempatan banduan siap dibina, lima buah
bangunan sementara telah dibina bagi menempatkan banduan-banduan yang
menjalankan kerja-kerja pembinaan. Bangunan tersebut telah dibina dalam
kawasan tembok penjara. Bangunan penempatan utama telah mula dibina pada
bulan November, 1891 dan siap pada bulan Mac, 1892. Bangunan penempatan
utama ini mengandungi 240 bilik menyerupai Penjara Kandy di Bogambia
iaitu berbentuk X dan dibina setinggi tiga tingkat. Setiap blok
dipisahkan oleh pintu pagar yang berkunci. Ia dibina dengan harga RM
84,886.00.







Pada tahun 1894 sewaktu lawatan Residen British, beliau telah
mencadangkan agar dibuat pertambahan sebanyak 54 bilik lagi untuk
disambung di Blok C dan D. Kerja-kerja penyambungan ini telah siap
dibuat pada tahun 1895.



Blok D telah menempatkan bilik akhir dan bilik gantung. Dari tahun 1960
hingga 1993, seramai 180 pesalah telah menjalani hukuman gantung sampai
mati disini.



Muatan asal Penjara Pudu pada awal pembinaannya hanyalah seramai 600
orang pesalah. Setelah kemasukan yang kian meningkat, pembinaan baru
telah dibuat, sehinggalan penjara ini mampu menampung 2,000 orang
pesalah dengan kadar muatan selesa.










Pada tahun 1985 penjara bersejarah ini telah memcatatkan jumlah bilangan
banduan yang tertinggi iaitu seramai 6,550 orang pada satu masa.
Kesesakan ini memaksa banduan bergilir-gilir (shift) untuk tidur.



Kumpulan banduan yang terawal menghuni penjara ini diambil dari daerah
Jugra, Hulu Langat, Banting, Ampang, Klang dan Rawang. Sebelum penjara
ini diwartakan sebagai penjara reman, terdapat beberapa kategori banduan
telah ditempatkan iaitu banduan jatuh hukum, banduan akhir, banduan
buang negeri, banduan buang tempatan, banduan seumur hidup dan banduan
seumur hayat.



Penjara berusia lebih seratus tahun ini juga pernah mencatat sejarah
hitam yang tersendiri iaitu pada tahun 1985, berlaku penawanan dua orang
awam, iaitu Dr. Radzi Jaafar dan Dr. Abdul Aziz Abdul Majid oleh enam
orang banduan reman yang diketuai oleh Jimmy Chuah. Penawanan berakhir
selepas enam hari setelah banduan menyerah diri.



Penjara yang banyak menceritakan kisah suka duka kepada jabatan ini
telah mencatat rekod kerana muralnya yang menghadap Jalan Pudu dan Jalan
Hang Tuah merupakan mural terpanjang di dunia iaitu sepanjang 384 meter
dan tinggi 4.5 meter telah dilukis oleh banduan dengan menggunakan
2,000 liter cat.





Kepesatan pembangunan persekitaran yang begitu cepat menyebabkan
ciri-ciri keselamatan penjara unik ini semakin tergugat. Penjara Pudu
yang sarat menyimpan 1001 kisah dan tauladan kepada Jabatan Penjara dan
negara ini terpaksa ditutup pada jam 9.05 pagi 1 November 1996 setelah
lebih 100 tahun digunakan. Tapak penjara yang terletak di kawasan segi
tiga emas ini akan dibangunkan untuk tujuan komersial oleh Perbadanan
Pembangunan Bandar (UDA) dan sebagai gantinya, UDA telah membina sebuah
penjara baru iaitu Penjara Sungai Buluh yang mempunyai keluasan 89.03
hektar yang terletak lebih kurang 36 km dari Kuala Lumpur dan diberikan
kepada Jabatan Penjara.





Penjara Pudu telah diterajui oleh beberapa pengarah bermula dari
pembukaannya sehinggalah ditutup pada tahun 1996 yang lalu. Antara
pengarah yang pernah menerajui Penjara Pudu adalah:



1 R. J. Glazier 1957

2 H. G. Shorters 1958

3 Fitzpatrick 1960

4 Hussein bin Mohd Said 15.10.1968 - 18.10.1976

5 Hamzah bin Mohd Wahi 19.10.1976 - 30.11.1976

6 Omar bin Mohamad Amin 01.12.1976 - 28.02.1981

7 Hj. Abdul Rahman bin Hj. M. Ali 01.03.1981 - 15.04.1988

8 Mohd Nadzri bin Md. Kushairy 16.04.1988 - 31.12.1988

9 Abd Aziz bin Hj Idris 01.01.1989 - 30.12.1991

10 Donald Wee May Keun 01.11.1991 - 15.06.1993

11 Hj Omar bin Hj Mohamed Dan 16.06.1993 - 30.09.1995

12 Mohd Jaafar b. Hj. Yaakob 1.10.1995 - 31.10.1996







0 komentar:

Post a Comment


Top