Sunday, May 22, 2011

Nostalgia : Botak Chin







Pada 22 November 1975 ketika malam mula berlabuh sekumpulan lelaki
melangkah masuk ke dalam sebuah kereta Datsun hijau. Sebaik enjin
dihidupkan, mereka memandu menyusuri jalan penuh liku di ibu kota Kuala
Lumpur.



Perjalanan mereka pada malam itu hanya untuk satu tujuan ‘gila’.
Daripada situlah bermulanya satu kisah besar dalam sejarah negara
dicatatkan.



Sasaran mereka adalah sebuah kereta dinaiki pegawai kanan polis,
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi
Superintendan (DSP) S Kulasingam.



Sebaik menjumpai kereta dinaiki pegawai polis itu, mereka mengekori
rapat sambil mengintip peluang yang sesuai untuk melaksanakan tindakan
mereka. Warga kota sekitar Jalan Davis-Jalan Pekeliling, masih
meneruskan kegiatan masing-masing tanpa mengesyaki satu kejadian
menggemparkan pada malam itu.



Setiba di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun ber
kenaan bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka ekori. Sebaik
merapati kenderaan dinaiki pegawai kanan polis itu dan melihat peluang
yang dinanti terbuka luas, 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’
Kulasingam.



Dentuman demi dentuman dilepaskan hingga mengejutkan orang ramai di
sekitar kawasan berkenaan. Matlamat kumpulan lelaki itu hanya satu iaitu
membunuh seorang pegawai kanan polis di tempat terbuka. Bagaimanapun,
tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal berikutan hanya satu das tembakan
mengenai Kulasingam.

Sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu.



Keesokannya, terpampang pada dada akhbar bahawa cubaan membunuh itu
gagal. Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin, yang mengepalai
rancangan itu naik angin apabila mengetahui musuh ketatnya hanya cedera.



Amarahnya memuncak mengingatkan kehadiran polis kerap mendatangkan
masalah kepada aktiviti haramnya. Kegiatan mengutip wang perlindungan
daripada tempat perjudian haram sekitar Kuala Lumpur yang dikuasainya
cuba dilumpuhkan pasukan itu.





Kegiatan rompakan bersenjata dan pembunuhan yang dilakukan menyebabkan
dia dan ahli kumpulan menjadi buruan. Banglo di Bukit Kenny yang disewa
dengan bayaran RM1,200 sebagai tempat persembunyian hanya bertahan
selama tiga hari sebelum polis berjaya menghidu markas baru mereka itu.



Malah, dia sendiri nyaris ditahan polis pada September tahun itu apabila
kereta curi yang dinaikinya bersama beberapa anggota dikesan pihak
berkuasa itu.



Selepas dikejar sejauh 3.2 kilometer dan dihujani tembakan polis, kereta
itu berhenti di Segambut Dalam dan Botak Chin segera menyelinap ke
kawasan setinggan. Dalam keadaan kelam kabut, mereka tertinggal sepucuk
revolver .38.



Botak Chin bersama anggotanya, termasuk seorang yang cedera ditembak
berjaya meloloskan diri dengan merampas sebuah kereta Volvo milik
seorang pegawai bank.



Pada bulan sama juga, orang kanannya, Chau Kuan (Ah Kuan) ditembak mati
di sebuah kedai runcit di Jalan Kovil Hilir, tetapi kematian tidak
menakutkannya, dia terus melakukan rompakan.



Serangan mengejut terhadap Kulasingam menyebabkan pihak polis bertekad
untuk menahan dan membasmi jenayah pemuda itu. Lelaki itu berbahaya
terhadap negara. Usianya baru pada awal 20-an tetapi dalam usia smuda
itu, namanya sudah tercatat dalam sejarah jenayah negara sebagai
penjenayah ganas paling dikehendaki. Tindak-tanduknya sentiasa
mendatangkan bahaya yang besar kepada ke amanan negara.



Lalu satu pasukan khas ditubuhkan polis. Beberapa pegawai polis yang
pakar memburu penjenayah daripada beberapa ibu pejabat polis daerah
dipanggil menganggotai pasukan itu dan tugas mereka adalah menjejak
pergerakan geng Botak Chin, tempat yang sering dikunjungi dan sarang
persembunyian.



16 Februari 1976. Selepas beberapa bulan menjejak penjenayah kejam dan
paling dikehendaki itu, akhirnya episod akhir pemburuan polis membawa
mereka ke sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.



Operasi besar diatur dan pelan dirangka sebaik mungkin. Polis mula
mengepung kilang berkenaan dan dalam kegelapan malam, mereka menunggu
kemunculan Botak Chin. Detik demi detik berlalu dengan penuh debaran.



Akhirnya, sebuah kereta Mazda putih masuk ke kawasan kilang. Sebaik
berhenti, tiga lelaki keluar daripada kereta itu dan seorang daripada
mereka ialah suspek buruan, Botak Chin. Penjenayah ganas itu lengkap
bersenjata selain memiliki dua bom tangan.



Langkah dan perlakuan seperti biasa meyakinkan pihak polis bahawa
kumpulan penjenayah terbabit tidak menyedari kehadiran mereka. Botak
Chin tidak menyedari bahawa kawasan itu sudah dikepung.



Beberapa pengikut penjenayah itu yang ditugaskan mengawal kawasan kilang
berkenaan masih leka dan selesa dengan aktiviti masing-masing
seolah-olah ketenangan malam itu akan terus dinikmati dengan aman.



Ketika itulah polis bertindak, empat pasukan menggempur masuk ke kawasan
kilang menyebabkan pengawal leka yang diharap menjadi mata dan telinga
Botak Chin lari lintang pukang meninggalkan ketua mereka dan tempat
persembunyian itu.



Daripada dalam pejabatnya, Botak Chin dan dua orang kanannya iaitu Beh
Kok Chin (Pangkor Chai) dan Hiew Foo Khen (Ah Keong) yang berasa
‘sesuatu yang tidak kena’ berlaku di luar mula menyedari mereka sudah
dikepung polis.



Beberapa ketika kemudian, berlakulah pertempuran antara penjenayah dan
polis dengan masing-masing melepaskan tembakan. Polis melepaskan
kira-kira 500 das tembakan selain gas pemedih mata dalam drama tembak
menembak itu.



Pangkor Chai dan Ah Keong membalas tembakan selain melemparkan sebutir
bom tangan ke arah polis. Pertempuran begitu sengit dan meruncing.



Dalam kelam-kabut itu, Botak Chin ditembak pada kaki dan tangan kanan.
Dalam kesakitan, dia merangkak mencari dua pengikut kanannya itu tetapi
mendapati kedua-dua mereka sudah kaku tidak bernyawa.



Babak keganasan penjenayah itu berakhir apabila Botak Chin yang berada
dalam keadaan tersepit menyerah diri dalam operasi penuh bahaya itu.



Botak Chin ditahan selama setahun sebelum mengaku bersalah apabila
dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan mengikut Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori.



Disebabkan peguamnya membuat rayuan terhadap hukuman itu hingga
peringkat Privy Council, Botak Chin dibicara semula pada 1 April 1980
tetapi dia tetap didapati bersalah pada 16 Mei 1980 dan rayuannya kepada
Mahkamah Persekutuan dan Lembaga Pengampunan ditolak.





Ketika menunggu dihukum gantung, Botak Chin terus menunjukkan sikap
ganasnya apabila menyerang dan mencederakan pegawai penjara termasuk
menggunakan senjata tajam sebanyak dua kali.

11 Jun 1981, kepalanya disarung dengan kain hitam. Dalam kegelapan, dia
dibawa menuju ke satu lokasi dalam Penjara Pudu itu. Botak Chin diminta
berdiri di atas platform dan beberapa ketika kemudian kedengaran gear
ditarik.



Platform di bawah kakinya terbuka, tubuhnya terjatuh ke bawah, tali
gantung menjerut lehernya sehingga patah dan riwayatnya selaku
penjenayah muda yang ganas dan paling dikehendaki polis akhirnya tamat.



Kronologi Botak Chin:



Hasil rompakan diguna beli senjata api di Thailand



1967 – Mula terbabit dalam kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah kecil seperti mencuri.



19 April 1969 – Melakukan rompakan bersenjata pertama bersama tiga rakan.



September 1969 – Memiliki senjata pertamanya revolver .22 lalu
menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan rompakan pada bulan itu tetapi
akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.



November 1974 – Dibebaskan daripada penjara. Cuba memulakan kehidupan
baru sebagai insan biasa tetapi pendapatan sebagai penjual sayur tidak
memuaskan hatinya.



April 1975 – Kurang setahun selepas dibebaskan, Botak Chin kembali aktif
dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong),
Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).



Mei 1975 – Pergi ke Thailand dengan bantuan rakan untuk membeli senjata api.



2 Jun 1975 – Merompak RM5,800 daripada sebuah pusat perjudian haram di
Sentul. Hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan senjata api dan
peluru di Thailand. Berlatih menembak dengan menjadikan anjing liar
sebagai sasaran di kawasan bekas lombong di Kepong. Semakin berani
apabila mempamerkan senjata api di tempat terbuka iaitu Pasar Sentul.



20 Julai 1975 – Merompak RM95,000 dari sebuah bank di Jalan Imbi, Kuala
Lumpur. Tidak lama selepas itu, beberapa pemain mahjung dirompak
RM10,000 selain barang kemas dan barang berharga di sebuah kuil Cina di
Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Merampas tiga pistol milik tiga anggota
polis. Merampas senjata api milik pengawal keselamatan dalam rompakan
sebuah bar di Sentul. Mencabar sesiapa saja di Kelab Kereta Api Sentul
untuk beradu kehandalan menembak ala koboi dalam rompakan di situ.



26 Oktober 1975 – Rompakan terbesar dilakukannya apabila melarikan
RM218,000 dan menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab
Lumba Kuda. Hasil rompakan sekali lagi digunakan untuk membeli senjata
api di Thailand. Dia kemudian memiliki 19 senjata api, lima bom tangan
dan kira-kira 1,000 peluru. Menyedari kedudukannya sebagai ketua mula
terancam kerana ada yang cuba mencabarnya, Botak Chin bertindak. Ketua
geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek dan anggota gengnya sendiri iaitu Ah
Wong, kemudian ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di
Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, mati membunuh diri selepas dikepung
polis di Jalan Alor. Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru,
diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000.
Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap.
Polis juga merampas 15 senjata api, peluru dan bom.



22 November 1975 – Cuba membunuh pegawai kanan polis yang memburunya tetapi gagal.



16 Februari 1976 – Ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kilang di
Kuala Lumpur. Dua pengikut kanannya terbunuh dalam pertempuran dengan
polis.

0 komentar:

Post a Comment


Top