Sunday, May 22, 2011

Sejarah Polis

Sistem polis boleh dilihat pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ketika
ini, peranan, tugas dan tanggungjawab polis digabungkan dengan
tugas-tugas ketenteraan. Sultan menjadi pusat kuasa yang mengawal sistem
ini, mempunyai kuasa mutlak. Baginda juga menjadi Hakim, Ketua Agama
dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera serta berkuasa mengubal
undang-undang. Undang-undang terpenting pada zaman itu ialah Hukum Kanun
Melaka.





Bendahara ialah orang kedua tertinggi selepas baginda Sultan. Beliau
berkuasa sebagai Penasihat Sultan, Ketua Pentadbir dan boleh bertindak
sebagai Panglima Perang. Tun Perak, yang bergelar Bendahara Paduka Raja
pernah memimpin angkatan tentera Melaka untuk berperang.



Melalui petikan Sejarah Melayu, halaman 142-143:



“ Setelah siang hari, maka Sultan Alaudin pun keluar dihadap orang. Maka
Bendahara dan segala orang besar-besar dan para menteri, sida-sida,
bentara, hulubalang sekaliannya hadir menghadap. Maka titah sultan
kepada Seri Maharaja, kerah ia Temenggung, "Adakah kawal semalam?"



Maka sembah Seri Maharaja, "Ada, tuanku." Maka titah sultan, "Kita
dengar ada orang mati dibunuh orang, diatas bukit seorang, dibawah bukit
seorang, dihujung jambatan seorang, jikalau demikian orang itu, Seri
Maharajakah yang membunuhnya?" Maka sembah Seri Maharaja, "Tiada patik
tahu, tuanku." Titah sultan, "Sia-sialah kawal Seri Maharaja, tiga orang
mati tiada diketahui. Sekarang kita dengar pencuri terlalu ganas dalam
negeri ini." Maka sultan pun memerintahkan memanggil Hang Isap, ia pun
datang, peti itu pun dibawanya. Maka titah Sultan Alauddin kepada Hang
Isap dan Hang Siak, "Apakah pemandangan engkau semalam?" Maka Hang Isap
dan Hang Siak pun berceritalah akan segala peri hal ehwal semalam, semua
dikatakannya.......



"Semenjak itu kawal Seri Maharaja terlalu keras. Jika bertemu dengan
orang di jalan, dibunuhnya, tiada ditangkap lagi. Pada suatu malam Seri
Maharaja berkawal, bertemu dengan seorang pencuri. Maka diparang oleh
Seri Maharaja dengan pedang bertupai, putus di bahunya......."









Dari gambaran di atas, Temenggung ialah orang yang bertanggungjawab
menjaga keselamatan dan ketenteraman di seluruh negeri, termasuk kawasan
istana. Tugasnya untuk menangkap penjenayah, membina penjara dan
melaksanakan hukuman-hukuman. Pada zaman sekarang, jawatan Temenggung
seperti Ketua Polis Negara sekarang. Beliau juga dipertanggungjawabkan
untuk menjaga pelabuhan, menyelesaikan masalah jenayah, pasar, jalan,
pekan, timbangan dan sukatan. Temenggung juga mempunyai pengawal
peribadi, dikehendaki mengawasi pemeriksaan penjara, berlaku adil,
mencari pengikut-pengikut yang amanah dan berunding dengan rakan-rakan
sejawat.



Para Penghulu merupakan wakil sultan, juga mempunyai pasukan kawalan
masing-masing. Tugas utama pasukan ini adalah memungut cukai,
menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan kampung jagaannya.



Sistem kepolisan tradisional ini berubah apabila Melaka ditakluk
Portugis pada 10 Ogos 1511, yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque.



Zaman Kepolisan Portugis dan Belanda



Tugas-tugas kepolisan seterusnya dilaksanakan oleh askar-askar Portugis.
Menjelang tahun 1511, Melaka telah menjadi masyarakat kosmopolitan.
Pihak Portugis mentadbir Melaka dengan menggunakan sistem "Kapitan".



Pada 14 Januari 1641, Empayar Portugis di Melaka berakhir dengan
penaklukan Belanda di Melaka dengan bantuan askar-askar negeri Johor,
ketika Portugis berperang dengan Acheh. Belanda turut memerintah Melaka
dengan menggunakan sistem ketenteraan di samping mengekalkan sistem
'Kapitan' yang diperkenalkan oleh Portugis. Sebuah pasukan polis yang
dinamakan 'Burgher Guard' ditubuhkan apabila penduduk Eropah bertambah
dan perlunya menubuhkan sepasukan polis. Burgher Guard adalah badan yang
baru dan para pegawainya terdiri daripada orang Belanda yang tinggal di
Melaka. Anggota-anggota bawahannya adalah orang-orang Melaka. Pasukan
ini dikawal dibawah Majlis Keadilan yang anggota-anggotanya dipilih di
kalangan orang Belanda di Melaka. Penghulu meneruskan tugas-tugasnya
seperti di Zaman Melayu Tradisional semasa Melaka di bawah pemerintahan
Belanda.



Sistem ini seterusnya melemahkan kuasa pemerintahan raja-raja melayu, yang sebelumnya mengamalkan kuasa mutlak.





Zaman Kepolisan Moden



Ketika British mengambil alih Melaka pada tahun 1795, Kapten Farquhar,
yang merupakan Gabenor Tentera pada masa itu membenarkan Majlis Keadilan
Melaka menjelaskan fungsinya sebagai majistret di samping itu
meneruskan tugas-tugas kepolisan 'Burgher Guard' yang telah terbentuk
pada zaman itu.



Organisasi Polis Moden di Malaysia bermula pada 25 Mac 1807 hasil
termaktubnya Piagam Keadilan (Charter of Justice) oleh penjajah Inggeris
di Pulau Pinang. Sistem ini mencontohi sistem tersusun dan teratur
polis British, yang dicipta oleh Sir Robert Peel pada tahun 1829.



Jawatan baru yang diwujudkan ialah High Sheriff dan Deputy Sheriff yang
diberi tugas untuk mengawal keselamatan dan kemamanan di Pulau Pinang.
Penduduk-penduduk tempatan diambil dan berkhidmat sebagai Patty
Constables dan diberi gaji. Orang-orang barat yang bertugas sebagai High
Constables dikira sebagai khidmat masyarakat dan tidak diberi gaji.



James Carnery dilantik sebagai High Sheriff yang pertama, manakala timbalannya ialah Andrew Bone.



Kebanyakan pegawai polis ketika itu adalah berbangsa British. Selepas
itu organisasi ini berkembang kepada Negeri-Negeri Selat dan
negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Pada ketika itu, organisasi polis
adalah terhad kepada negeri masing-masing. Hanya selepas Perang Dunia
II, satu organisasi polis tunggal dengan pentadbiran pusat yang pertama
telah ditubuhkan dan dikenali sebagai "Civil Affair Police Force"
(CAPF). Organisasi ini telah dibentuk di Tanah Melayu bagi menjalankan
tugas-tugas kepolisan dengan diketuai H.B. Longworthy. Penjajah British
terpaksa memantapkan organisasi polis selepas negara melalui anarki
semasa zaman pemerintahan Jepun. Antara masalah yang berleluasa ketika
itu ialah pemberontakan pihak komunis.



Konsep "Bersedia Berkhidmat" diperkenalkan oleh Pesuruhjaya Polis Tanah
Melayu Sir Arthur E. Young pada 15 Disember 1952. Melalui arahannya,
Arahan Pesuruhjaya Polis No. 36, tahun 1952: "Operation Service", A. E.
Young menegaskan pendekatan polis terhadap orang ramai serta mewujudkan
persefahaman terhadap kedua-dua pihak. Beliau juga berharap dengan
konsep "Bersedia Berkhidmat" ini, pandangan negatif pasukan dapat
dikikis dan sebaliknya dihormati.

0 komentar:

Post a Comment


Top