Tuesday, May 24, 2011

Nostalgia : Titanic - Bahagian 2

Malapetaka






Ketulan aisberg yang terdapat di Newfoundland.



Pada malam Ahad, 14 April, suhu menurun sehingga tahap hampir beku dan
laut tenang. Bulan tidak muncul manakala langit pula cerah. Kapten Smith
bertindak kepada amaran ketulan aisberg melalui wireles semenjak
beberapa hari dengan mengubah haluan Titanic ke arah lebih selatan. Pada
Ahad tersebut iaitu pada 1:45 PM, pesanan dari kapal wap Amerika telah
memberi amaran bahawa air batu besar terapung dalam laluan Titanic,
tetapi amaran ini tidak dihantar ke dek kawalan. Lewat petang itu, satu
lagi laporan mengenai ketulan air batu besar yang banyak, kali ini
daripada Mesaba, turut gagal disampaikan ke dek kawalan.



Pada pukul 11:40 PM ketika berlayar di selatan Grand Banks di
Newfoundland, pemantau Fredrick Fleet dan Reginald Lee melihat ketulan
air batu yang besar tepat di hadapan kapal. Fleet membunyikan loceng
kapal sebanyak tiga kali dan menelefon dek kawalan lalu memberitahu,
"Aisberg, betul-betul di hadapan!" Pegawai Pertama Murdoch mengarahkan
pusingan mengejut ke port (kiri) dan kelajuan tinggi ke belakang, yang
menghentikan dan kemudiannya mengundurkan enjin kapal.



Perlanggaran
ternyata tidak dapat dielakkan, dan aisberg tersebut bergesel dengan
bahagian kanan sisi kapal, merenggangkan badan kapal di beberapa
bahagian dan melantunkan kimpalan rivet di bawah paras air sepanjang
sekitar 91 m (300 kaki). Pintu kedap air ditutup apabila air mula
memasuki lima bahagian kedap air pertama, lebih satu daripada apa yang
dapat ditanggung Titanic. Berat lima bahagian kedap air yang dimasuki
air menarik kapal ke bawah melebihi ketinggian dinding kedap air lalu
membenarkan air untuk memasuki bahagian lain. Kapten Smith, merasai
gegaran hentaman itu lalu menuju ke dek pengurusan dan memerintahkan
berhenti sepenuhnya. Selepas pemeriksaan oleh pegawai kapten dan Thomas
Andrews, jelas disedari bahawa Titanic akan tenggelam, dan sejurus
selepas tengah malam pada 15 April, perahu penyelamat diperintahkan
untuk disediakan dan panggilan keselamatan mula dihantar.



Bot penyelamat pertama dilancarkan, bot 7, diturunkan pada pukul 12:40
AM di bahagian kanan kapal dengan hanya 28 orang di atasnya. Titanic
membawa 20 perahu penyelamat dengan keupayaan penuh 1,178 orang.
Walaupun tidak mencukupi untuk membawa kesemua penumpang dan anak kapal,
Titanic membawa lebih banyak bot berbanding yang disyaratkan oleh
Lembaga Peraturan British (British Board of Regulations). Pada masa itu,
jumlah bot penyelamat yang diperlukan ditetapkan menurut tan kasar
kapal, bukannya jumlah orang yang dibawanya.



Penumpang kelas pertama dan kedua lebih mudah menuju ke bot penyelamat
dengan tangga yang menuju terus ke dek bot, tetapi penumpang kelas
ketiga lebih sukar. Ramai mendapati laluan dari bahagian bawah kapal
sukar difahami dan menyukarkan mereka untuk sampai ke bot penyelamat.
Lebih buruk lagi bagi penumpang kelas ketiga apabila pintu dikunci oleh
anak kapal yang menunggu arahan bagi membenarkan penumpang naik ke
geladak.




Titanic melaporkan kedudukannya pada 41° 46′ N, 50° 14′ W. Bangkai kapal dijumpai di 41° 43′ N, 49° 56′ W.







Operator radio tanpa wayar Jack Phillips dan Harold Bride sibuk
menghantar kod CQD, isyarat kecemasan sejagat. Beberapa kapal menyahut,
termasuk Mount Temple, Frankfurt dan kapal saudara Titanic, Olympic,
tetapi kesemuanya terlalu jauh untuk sampai sebelum Titanic tenggelam.
Kapal terdekat adalah RMS Carpathia kepunyaan Cunard Line yang sejauh 93
kilometer (58 batu) dan hanya sampai selepas empat jam; terlalu lewat
untuk sampai ke Titanic. Satu-satunya daratan yang menerima isyarat
kecemasan Titanic merupakan stesyen wireles di Cape Race, Newfoundland.



Pada mulanya, penumpang enggan meninggalkan Titanic untuk menaiki kapal
penyelamat yang kecil kerana merasakan Titanic lebih selamat dan selesa
serta tiada sebarang tanda yang menunjukkan mereka sedang berada dalam
keadaan bahaya. Malahan, terdapat khabar di antara mereka bahawa mereka
dikehendaki turun ke dalam bot penyelamat hanya sebagai syarat untuk
mematuhi undang-undang yang ada dan mereka difahamkan lagi bahawa mereka
akan kembali ke kapal untuk sarapan pagi kerana mereka percaya kapal
tersebut tidak akan tenggelam. Ini menyebabkan kebanyakan bot
dilancarkan separuh kosong dan terdapat satu bot yang mampu membawa 40
orang berlepas dengan hanya 12 orang di atasnya.



Dengan arahan "wanita dan kanak-kanak dahulu" diberi keutamaan untuk
menaiki bot penyelamat, Pegawai Kedua Lightoller, yang mengisi bot
penyelamat di sebelah kiri, hanya membenarkan lelaki yang diperlukan
sebagai pengayuh dan tidak untuk sebab lain walaupun masih terdapat
tempat kosong. Pegawai Pertama Murdoch, yang mengisi bot di sebelah
kanan kapal, membenarkan lelaki naik sekiranya wanita tidak mencukupi.
Apabila kapal semakin condong, penumpang mulai cemas dan sesetengah bot
berlepas penuh. Pada 2:05 AM, seluruh bahagian haluan kapal tenggelam di
bawah air dan ketika itu, selain dua buah bot, semua bot penyelamat
yang lain telah dilancarkan.



Sekitar 2:10 AM, bahagian belakang kapal terangkat dari paras air
menampakkan bilah kipas, dan pada pukul 2:17 aras air mencecah geladak
bot. Keadaan semakin hangat apabila dua bot penyelamat terakhir terapung
dari geladak, satu terbalik dan satu lagi separuh berisi air. Tidak
lama kemudian, serombong paling hadapan jatuh, meremukkan sebahagian dek
pengurusan dan mereka yang terapung di permukaan air. Di geladak, para
penumpang berlari ke arah belakang atau melompat ke laut dangan harapan
dapat sampai ke bot penyelamat.



Bahagian belakang kapal perlahan-lahan
terjungkit ke langit, dan barang-barang yang tidak terikat jatuh ke
dalam laut. Semasa bahagian belakang kapal terjungkit, sistem eletrik
gagal dan semua lampu terpadam. Tidak lama kemudian, tekanan pada badan
kapal mengakibatkan Titanic pecah dua antara dua serombong terakhir, dan
bahagian hadapan tenggelam sepenuhnya. Bahagian belakang terapung di
permukaan air seketika dan terjungkit menegak. Selepas beberapa ketika,
pada pukul 2:20 AM, kesemuanya tenggelam ke dalam laut.



Daripada sejumlah 2,223 orang, hanya 706 terselamat; 1,517 mati.
Kebanyakan kematian disebabkan mangsa terkena hipotermia dalam air
bersuhu 28 °F (−2 °C). Hanya dua daripada 18 bot penyelamat yang
dilancarkan kembali untuk menyelamatkan mangsa dari dalam air selepas
kapal tenggelam. Bot penyelamat 4 kembali dan menyelamatkan lima orang,
dua daripada mereka mati kemudiannya. Hampir sejam kemudian, bot
penyelamat 14 kembali dan menyelamatkan empat orang yang mana satu mati
kemudiannya. Ada yang lain berjaya menaiki bot penyelamat yang terapung
daripada geladak. Terdapat pertikaian dalam bot penyelamat lain sama ada
hendak kembali, tetapi kebanyakan yang terselamat takutkan bot
penyelamat mereka akan tenggelam akibat dikerumuni mangsa yang cuba
menaiki bot mereka atau "ditarik" oleh Titanic yang tenggelam, walaupun
sebenarnya hanya sedikit tarikan berlaku.



Ketika kapal tersebut tenggelam ke dalam laut, kedua bahagian tersebut
menjunam dalam cara berlainan. Bahagian haluan yang runcing mendatar
kira-kira 609 m (2,000 kaki) di bawah permukaan dan mendarat dengan agak
perlahan. Bahagian belakang bagaimanapun tenggelam dengan laju ke dasar
lautan; badan kapal terburai akibat penguncupan udara yang terperangkap
dalam kapal. Bahagian belakang kapal menghentam dasar pada kelajuan
tinggi, terbenam jauh ke dalam lumpur.







Diselamatkan



Hampir dua jam selepas Titanic tenggelam, RMS Carpathia tiba di tempat
kejadian dan mengambil bot penyelamat pertama. Dalam beberapa jam
kemudian, mereka yang masih hidup di selamatkan. Di geladak Carpathia,
khidmat doa ringkas untuk mereka yang terselamat dan bagi memperingati
mereka yang mati diadakan, dan pada 8:50 AM, Carpathia menuju ke New
York, dan tiba pada 18 April.



Apabila kehilangan jiwa disahkan, White Star Line menyewa kapal
MacKay-Bennett untuk mengambil mayat. Sejumlah 338 mayat akhirnya
didapati. Kebanyakan mayat dihantar ke Halifax, Nova Scotia, di mana
kebanyakan mayat yang tidak dituntut dikebumikan di Fairview Cemetery.

0 komentar:

Post a Comment


Top