Tuesday, May 24, 2011

Nostalgia : Pembohongan Cerita Pari-Pari







SELAMA 65
tahun, ramai pihak termasuk penulis terkenal, Sir Arthur Conan Doyle,
percaya bahawa pari-pari bukan sekadar makhluk fantasi yang wujud dalam
kisah dongeng sebaliknya hidupan kenit yang mampu terbang itu diyakini
benar-benar wujud di dunia ini.



Keyakinan itu bermula pada 1917 apabila seorang kanak-kanak perempuan,
Frances Griffiths, 9, pulang ke rumahnya di Bradford, England dalam
keadaan kasut dan sarung kakinya basah. Melihat keadaan itu, ibunya,
Annie, mula berang lalu memarahi anaknya itu. Sudah berkali-kali dia
melarang Frances bermain-main di Sungai Cottingley yang terletak
berhampiran kediaman mereka tetapi anaknya itu tetap berdegil.



Apabila ditanya mengapa kanak-kanak itu suka bermain di tepi sungai
berkenaan, Frances memberikan jawapan aneh yang amat mencabar logik
akal.



“Saya ke sana untuk melihat pari-pari!” kata kanak-kanak itu. Sepupu
Frances, Elsie Wright, 16, turut menyokong kata-kata itu dan mengakui
bahawa pari-pari memang wujud di tepi sungai berkenaan.



Pada mulanya, Annie dan ibu saudara Frances, Polly Wright tidak percaya
dengan alasan itu tetapi riak wajah mereka mula berubah selepas
kanak-kanak itu menunjukkan gambar yang dirakam mereka.



Gambar itu benar-benar mengejutkan - tertera imej Frances berada di
belakang sekumpulan pari-pari yang sedang menari di tepi sungai itu.



Dua tahun kemudian, Annie dan Polly menunjukkan gambar aneh itu kepada
penceramah ajaran spiritual Theosophy, Edward Gardner. Lelaki itu turut
terkejut melihat imej pari-pari berkenaan dan meminta negatif gambar
dihantar kepadanya untuk dikaji lebih lanjut.



Di hadapan pakar fotografi, Harold Snelling, gambar itu sekali lagi
dikaji dengan teliti dan selepas beberapa lama, pakar itu mengemukakan
kesimpulan yang mengejutkan - gambar itu adalah asli dan imej pari-pari
itu adalah imej hidup dan bergerak!

Gambar itu kemudian ditunjukkan kepada Conan Doyle yang juga ahli
pergerakan spiritual yang percaya bahawa manusia dapat bercakap dengan
roh seseorang yang mati menerusi perantaraan psikik. Doyle menjelaskan
bahawa gambar itu adalah bukti bahawa terdapat ‘dunia lain’ di sebalik
alam realiti ini.



Kisah bukti kewujudan pari-pari itu semakin menggemparkan ramai pihak
apabila Doyle menyiarkan gambar berkenaan bersama artikel mengenai
pari-pari yang ditulisnya dalam majalah The Strand.



Pada 1920, Gardner memujuk kanak-kanak itu merakamkan lebih banyak
gambar pari-pari dan selepas beberapa minggu, lima gambar pari-pari
berjaya dirakamkan Frances dan Elsie.



Setahun selepas itu, seorang ahli nujum terkenal, Geoffrey Hodson,
dibawa ke Cottingley untuk mengesan sama ada kawasan itu benar-benar
dihuni makhluk halus. Dia akhirnya mendakwa yang dia turut dapat melihat
pari-pari itu sama seperti Frances dan Elsie.





Tahun demi tahun, kisah berkenaan terus diperdebatkan ramai pihak.
Misteri gambar pari-pari itu akhirnya berlarutan selama 65 tahun dan
dari kecil, dua kanak-kanak perempuan itu akhirnya dewasa dan tua.



Ketika Elsie berusia 81 tahun, dia sekali lagi ditemuramah wartawan
majalah The Unexplained, Joe Cooper dan akhirnya, di hadapan lelaki itu,
dia mengaku bahawa kelima-lima gambar itu adalah palsu.



Pari-pari itu hanyalah gambar yang dilukisnya mengikut lukisan dalam
buku Princess Mary's Gift Book. Gambar itu kemudian digunting dan
dilekatkan pada tumbuhan dengan menggunakan jarum supaya kelihatan
berdiri. Selepas gambar berkenaan dirakamkan, dia dan Frances membuang
semua bahan bukti pembohongan itu ke dalam sungai.



Selepas 65 tahun, pembohongan itu akhirnya terbongkar tetapi sesuatu
yang menyedihkan adalah hakikat itu tidak diketahui Sir Arthur Conan
Doyle yang meninggal dunia pada 1930. Lelaki itu mungkin percaya bahawa
pari-pari adalah wujud sehingga ke akhir hayatnya

0 komentar:

Post a Comment


Top