Sunday, May 22, 2011

Nostalgia : Tragedi Kompleks Campbell 1976







ASAP tebal menyelubungi kompleks Campbell sebelum api marak ke bangunan pejabat 20 tingkat.



MEI 1973, sebuah kompleks berharga RM10 juta dibuka dan secara tidak
rasmi menjadi mercu tanda Kuala Lumpur pada masa itu kerana ia
satu-satunya bangunan pencakar langit di pusat bandar raya yang menjadi
kebanggaan warga kota.



Kompleks Campbell itu mengandungi podium setinggi empat tingkat
menempatkan gedung pakaian, kedai kamera, kedai jahit, restoran, bar,
sebuah kelab malam serta bangunan pejabat setinggi 20 tingkat.



Ketika usianya baru mencecah tiga tahun, bangunan itu hangus dijilat api
pada 8 April 1976 yang disifatkan tragedi paling besar pada era 70-an
kerana pasukan bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa hampir 30
jam untuk memadamkan kebakaran itu.



Kejadian dikatakan bermula pada jam 10.30 malam dan api marak sehingga
jam 2 pagi di bangunan yang menempatkan 180 kedai serta 20 tingkat
bangunan pejabat.



Bangunan itu menempatkan Ibu Pejabat Bank Kerjasama Rakyat, Lembaga
Latihan Persijilan Perusahaan Ketukangan Kebangsaan, seksyen akaun
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).






API merebak memusnahkan seluruh bangunan dan kompleks.



Kejadian disifatkan media sama seperti filem 'The Towering Inferno' yang mendapat sambutan hangat di pawagam ketika itu.



Seorang peniaga, Yap Leong Hoem, 59, maut selepas terjun dari tingkat
dua kompleks berkenaan manakala lebih 1,000 orang hilang pekerjaan -
antaranya pekerja Emporium Campbell, pejabat, gerai kompleks, kedai
pakaian, alat solek, kedai kasut, kedai rekod dan syarikat pelancongan.



Kebakaran itu mula disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas
di tingkat dua kompleks selepas ternampak kepulan asap keluar daripada
sebuah kedai batik kira-kira jam 10.45 malam dan asap mula menyelubungi
seluruh tingkat berkenaan.



Ketika itu, kebanyakan kedai di situ sudah ditutup kerana hanya beroperasi sehingga jam 10 malam setiap hari.






KEADAAN bangunan 20 tingkat sehari selepas kebakaran.



Pengawal keselamatan bersama seorang lagi rakannya cuba memadam
kebakaran awal menggunakan alat pemadam api tetapi gagal kerana api
marak terlalu cepat.



Mangsa yang terkorban, Yap Leong Hoem, dikatakan berada di tingkat dua
dan terlalu panik menyebabkannya membuat pilihan nekad dengan terjun
bangunan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke
Hospital Kuala Lumpur (HKL).



Enam lagi termasuk wanita yang berada di kelab malam di tingkat lima turut pengsan kerana terhidu asap tebal.



Pasukan bomba mula memasuki bangunan dengan memakai topeng gas serta
membawa tangki oksigen untuk menyelamat dan memadam kebakaran tetapi
usaha awal mereka selama dua jam tidak begitu berhasil.



Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut membantu mengawal keadaan dan
Jalan Campbell mula ditutup kepada orang ramai bagi memudahkan usaha
mengawal dan memadam kebakaran.



Wartawan Berita Harian yang membuat liputan kebakaran, Muhammad Sharom
Suboh bersama dua rakan setugas, Halim Majid dan Ali Mansor menyifatkan
kejadian itu amat menggerunkan tetapi memberi banyak pengalaman serta
pengajaran.



Kami dapat menyaksikan api merebak dari satu tingkat ke satu tingkat
lain. Satu demi satu tingkat hangus, kaca pecah dan berterbangan. Orang
ramai memenuhi segenap penjuru kawasan sekitar untuk melihat sendiri
kebakaran.



Ia menggerunkan kerana itulah pengalaman pertama menyaksikan kebakaran
begitu besar. Walaupun hujan lebat pada tengah hari, ia tidak memadai
untuk membantu pasukan bomba. Ketika itu pun, kelengkapan pasukan bomba
tidak secanggih sekarang.



Wartawan juga bertugas membuat liputan 24 jam sehari kerana kebakaran
serta operasi memadam mengambil masa terlalu lama, Sharom yang berusia 19 tahun ketika itu dan kini memegang jawatan Ketua
Perkhidmatan Sokongan Editorial NSTP menjelaskan, warga kota yang bangun
pagi pada hari kejadian untuk keluar bekerja serta menjalankan urusan
harian terkejut dengan kejadian yang meranapkan bangunan kebanggaan ibu
kota.



Kebakaran itu dikatakan menyebabkan kerugian kira-kira RM50 juta dan
difahamkan, bangunan itu diinsuranskan sebanyak RM30 juta. Setiap kedai
di situ dilapor mengambil insurans sekurang-kurangnya RM100,000.



Kejadian itu turut menarik perhatian Menteri Kebajikan Am, Aishah Ghani;
Ahli Parlimen Bukit Bintang, Lee Lam Thye serta Penolong Ketua Polis
Negara, Datuk Mahmud Yunus.





Kronologi kejadian:



10.45 malam - asap tebal dikesan di tingkat dua kompleks



11.00 malam - Pasukan bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian.



11.15 malam - Jalan Campbell ditutup kepada semua lalu lintas.



7 pagi - asap masih kelihatan di tingkat tiga dan sebahagian dinding mula retak akibat terlalu panas



10 pagi - api mula reda



12.30 tengah hari - asap tebal tiba-tiba kelihatan di tingkat 16, 17, 18



1.30 tengah hari - hujan renyai



1.30 tengah hari - kira-kira 100 penduduk dan warga polis yang tinggal berdekatan diarahkan berpindah



2.00 petang - hujan lebat tetapi api terus marak dengan cepat



2.10 petang - api merebak dari tingkat ke tingkat bangunan.



2.30 petang - bomba menghentikan operasi memadam kerana api terlalu besar



2.50 petang - angin bertiup kencang menyebabkan api bertambah marak dan kaca tingkap mulai jatuh.



3.30 petang - api marak ke tingkat 20 dan 21



4.30 petang - api mulai padam dan hanya kelihatan di tingkat paling atas.



5.30 petang - Jalan Campbell mula dibuka kepada orang ramai.



6 petang - orang ramai yang berkumpul menyaksikan kebakaran mula berundur.



2 pagi - api dilihat masih membara di tingkat paling atas dan pihak berkuasa ditempatkan di situ mengawal keadaan.

0 komentar:

Post a Comment


Top