Saturday, May 21, 2011

Nostalgia : Tragedi Helikopter Terhempas






Orang ramai melihat bangkai pesawat helikopter Bell-412 SP milik Sabah Air yang dinaikkan dari dasar laut.




Pasukan penyasat DCA belum dapat kenal pasti punca nahas helikopter Bell
milik Sabah Air pada 1995 yg telah mengorbankan 10 nyawa.



Kira-kira 15 tahun lalu, negara digemparkan dengan berita 10 orang maut
termasuk tujuh pekerja Petronas Carigali Sdn Bhd apabila helikopter yang
mereka naiki hilang beberapa minit sebelum dijadualkan mendarat di
pelantar minyak Samarang, kira-kira 30 batu nautika Barat Laut Labuan,
pagi itu.



Dan laporan Berita Harian pada 30 November 1995 turut menyatakan tiga
lagi yang terbunuh ialah dua juruterbang helikopter Bell-412 SP, milik
Syarikat Penerbangan Sabah Berhad (Sabah Air) selain seorang kontraktor
Filipina.



Pesawat itu hilang pada kedudukan 05 darjah 39 Utara dan 115 darjah 06
Timur dan dipercayai berada paras kira-kira 666 meter (2,000 kaki).



Ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam
9.45 pagi dan dijangka tiba di pelantar minyak ke Samarang yang terletak
kira-kira 30 batu nautika Barat Laut Labuan pada jam 10.25 pagi.



Walaupun tempoh ketibaan tiba, helikopter itu tidak sampai di pelantar
minyak berkenaan sekali gus menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan di
kalangan pihak terbabit.







Petugas di menara kawalan di Kota Kinabalu hanya menerima panggilan
terakhir daripada juruterbang pesawat itu pada jam 10.13 pagi.
Juruterbang pesawat itu melaporkan keadaan cuaca ketika penerbangan
adalah baik dan dijangka tiba pada jam 10.30 pagi.



Bagaimanapun, kira-kira jam 10.35 pagi, helikopter terbabit tidak tiba
di pelantar minyak Samarang menyebabkan penyelia pelantar itu
menghubungi menara kawalan dan melaporkan pesawat itu gagal mendarat
pada waktu ditetapkan.



Berikutan itu bot peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan
Jabatan Marin dihantar ke kawasan berkenaan bagi menjalankan gerakan
mencari dan menyelamat.



Operasi itu turut disertai dua helikopter Nuri Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) dari markas Gerakan Mencari dan Menyelamat berpangkalan
di Labuan, dua helikopter Bell (Sabah Air) dan enam penyelam.



Kapal dagang yang melalui sekitar perairan itu juga diberitahu mengenai
kehilangan pesawat berkenaan bagi membantu gerakan mencari dan
menyelamat.



Bagaimanapun, sehingga jam 10.30 malam hari kejadian, masih tiada laporan diterima daripada pasukan mencari dan menyelamat.



Kebimbangan mengenai nasib 10 penumpang helikopter berkenaan mula
tercetus di kalangan pihak berkaitan terutama ahli keluarga mereka.



Pasukan pekerja itu dikatakan dalam perjalanan ke pelantar Samarang untuk pertukaran masa bekerja selama seminggu.



Hari kedua menjelma dan operasi mencari dan menyelamat disertai pasukan
mencari dan menyelamat (SAR), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Penerbangan Malaysia (DCA)
Kota Kinabalu, Syarikat Sabah Air, Petronas Carigali, polis marin,
Jabatan Laut Labuan, pasukan penyelam dari Miri dan Kota Kinabalu,
dilakukan terus-terusan.



Berdasarkan tumpahan minyak dikesan di kawasan kira-kira 23 batu nautika
di barat laut Labuan, sebuah kapal marin dan kapal M V Armada Goodman
yang dilengkapi peralatan menyelam bersama sepasukan penyelam diarahkan
menjalankan gerakan mencari di situ.



Alat pengesan bawah air kawalan jauh (remotely operated vehicle) juga diturunkan ke dasar laut untuk gerakan mencari.



Bilik operasi di bangunan Centre Point pula dikunjungi keluarga mangsa yang menunggu maklumat terkini.



Penemuan kesan buih berhampiran garisan tumpahan minyak di lautan luas
itu menyebabkan penyelam menyelam di kawasan itu tetapi mereka hampa
kerana tidak menemui apa-apa kesan.



Operasi turut dijalankan sekitar perairan Pulau Tiga, Pulau Mengalum dan
Pulau Manukan. Pasukan SAR pula menumpukan gerakan mencari pada jarak
200 batu nautika ke utara Tanjung Kubong, Labuan iaitu laluan yang
digunakan oleh helikopter yang hilang itu. Dasar laut di kawasan
berkenaan kira-kira 35 meter.



Perkembangan yang tidak memberangsangkan pada hari kedua bagaimanapun
tidak melemahkan semangat pasukan mencari dan menyelamat dan harapan
untuk menjumpai 10 mangsa yang masih hilang secara misteri terus
tersemat di sanubari masing-masing.



Operasi hari ketiga bagi mengesan lokasi kehilangan helikopter Bell-412
SP bersama 10 penumpang di dalamnya berakhir dengan berita duka.



Hari ketiga kejadian menyaksikan mayat dua penumpang helikopter itu
ditemui terapung di perairan Kota Belud kira-kira jam 3 petang.



Helikopter itu juga disahkan terhempas selepas serpihan bahagian kipas
pesawat itu ditemui tidak jauh dari tempat kedua-dua mayat berkenaan
dijumpai atau kira-kira 150 kilometer ke arah Timur Laut daripada
kedudukan terakhir helikopter berkenaan sebelum dilaporkan hilang.



Badan kedua-dua mayat berkenaan berkeadaan sempurna dan dihantar ke
Hospital Queen Elizabeth (QEH), pada malam itu juga untuk dibedah
siasat.



Berikutan penemuan dua mayat itu, usaha menyelamat dan mencari
diteruskan bagi mengesan lapan lagi mangsa yang masih tidak diketahui
keadaan mereka.



Pada hari keempat, dua lagi mayat mangsa nahas helikopter Bell 412-SP
itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), menjadikan empat orang
disahkan terbunuh dalam tragedi itu.



Mayat pertama iaitu juruterbang helikopter berkenaan ditemui pada jam
6.42 pagi oleh kapal M V Brunei Eagle yang menyertai SAR manakala mayat
kedua ditemui pada lokasi 10 kilometer ke Timur Laut daripada lokasi
terakhir helikopter berkenaan menghubungi menara kawalan.



Sementara itu, hasil bedah siasat ke atas mayat yang dijumpai pada hari
ketiga mendapati tulang belakang mangsa patah dan kematian mereka
dipercayai berpunca daripada tekanan terlalu kuat. Bagaimanapun, tiada
kesan melecur pada badan mangsa.



Dalam pada itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bingung memikirkan punca
sebenar sehingga menyebabkan helikopter Sabah Air Bell 412-SP itu
terhempas.



Persoalan sama ada helikopter itu mengalami kerosakan mekanikal sehingga
menyebabkan ia terhempas juga tidak dapat dipastikan kerana dalam
keadaan biasa, juruterbang sebarang pesawat yang menghadapi masalah
mekanikal mempunyai masa yang cukup untuk menghantar isyarat kecemasan
sebelum sebarang kejadian buruk berlaku.



Pada hari keenam iaitu 4 Disember 1995, satu lagi mayat mangsa nahas
helikopter Bell 412-SP milik Sabah Air ditemui di perairan Pulau Tiga
menjadikan lima orang semuanya ditemui setakat itu.



Mayat itu ditemui kapal KD Jerung pada jam 4.06 petang dan diterbangkan
dengan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke
Kota Kinabalu.



Mayat berkenaan ditemui pada kedudukan 11 kilometer ke arah Timur Laut
dari tempat hubungan terakhir helikopter itu dengan menara kawalan.



sumber

0 komentar:

Post a Comment


Top