PENDUDUK melihat kesan runtuhan Gua Cheroh yang mengorbankan 42 nyawa. |
PENDUDUK melihat kesan runtuhan Gua Cheroh yang mengorbankan 42 nyawa.
HUJAN renyai membasahi Kampung Kachang Putih di Gunung Cheroh, Ipoh, Perak pada malam 18 Oktober 1973.
Suasana sedikit dingin tetapi kebanyakan penduduk mula merasakan
'kehangatan' sambutan Deepavali yang bakal menjelma kira-kira seminggu
saja lagi.
Ramai antara mereka tidak berada di perkampungan itu lantaran sibuk membeli pelbagai barang persiapan sambutan di bandar.
Kebanyakan penduduk yang tidak ke mana-mana pula sekadar memerap di
dalam rumah. Mereka tidak mahu tubuh dibasahi air hujan yang merintik
jika keluar dari rumah masing-masing.
Secara tiba-tiba, satu bunyi aneh yang teramat kuat dan menakutkan
bergema sehingga menggemparkan kedamaian dan suasana sepi di
perkampungan itu.
Membantu mencari mangsa yang tertimbus. |
Bunyian yang menggegarkan kawasan sekitar jam 9 malam itu segera
menyentak debaran yang tidak sudah di jiwa beberapa penduduk yang masih
berada di dalam rumah.
"Bunyi apakah itu?" Mereka tertanya-tanya dalam kebingungan.
Hairan dengan bunyian pelik itu menyebabkan mereka melangkah ke luar
kediaman masing-masing untuk meninjau kejadian apakah yang sebenarnya
sudah berlaku.
Ketika itulah pandangan masing-masing terpaku dan jasad kebanyakan
penduduk terbabit tergamam. Debaran semakin menghentak dada, perasaan
takut meresap ke dalam diri dan cemas mengiringi rasa terkejut tatkala
melihat kejadian ngeri di hadapan mata mereka.
Tanpa diduga, malam yang sepi dan damai di Kampung Kachang Putih yang
terletak di kaki Gunung Cheroh sudah bertukar menjadi malam petaka pada
hari itu.
Dalam sekelip mata, 20 rumah, dua kedai selain kandang ternakan lembu
dan kambing hilang dihempap bongkah batu kapur gergasi seberat lebih
sejuta tan. Bayangan ngeri mula menjelma tatkala memikirkan nasib lebih
40 penghuni termasuk kanak-kanak yang berada dalam rumah berkenaan
ketika batu gergasi itu menghempap. Bagaimanakah keadaan mereka?
Ketika itulah suara jeritan, tangisan dan pekikan bergema memenuhi ruang
udara kawasan berkenaan. Nyata ada mangsa yang cedera parah dan
terperangkap di bawah batu gergasi yang menghempap.
Dalam sekelip mata juga penduduk berdekatan mula mengerumuni lokasi
runtuhan dahsyat itu. Keadaan cemas dan panik masih tidak hilang ketika
mereka mula menggali tanah dan mengalihkan kesan runtuhan bagi mencari
mangsa yang terperangkap selain memberi bantuan kepada mangsa yang
cedera.
Tidak lama selepas itu, jentera bomba dan pelbagai pasukan penyelamat
tiba di lokasi kejadian. Tanpa membuang masa, kerja-kerja mencari segera
dilakukan dengan harapan dapat menyelamatkan mangsa yang masih
terperangkap.
Jentolak dan lori digunakan bagi menolak dan mengangkat serpihan batu
yang runtuh. Operasi mencari dan menyelamat disertai lebih 500 orang
termasuk daripada beberapa pertubuhan sukarela.
Ketika itulah, pelbagai pandangan mengerikan kelihatan di sebalik tanah
dan serpihan batu yang digali. Selain jasad mayat yang berjaya
dikeluarkan daripada timbusan, ada antara pasukan pencari yang hanya
menemui cebisan daging atau bahagian badan saja selepas tubuh mangsa
berkecai dihempap batu keras.
Dengan perasaan seram, ngeri dan takut, bahagian anggota jasad itu dikumpulkan di suatu tempat tertentu.
Segelintir mangsa yang terselamat dan berjaya ditemui selepas beberapa
jam gerakan mencari di bawah runtuhan batu dan tanah itu segera
dikejarkan ke Hospital Besar Ipoh (HBI).
Usaha mencari mangsa atau mayat nyata tidak mudah dilakukan. Saiz batu
yang menghempap teramat besar dan gergasi menyebabkan ia sukar
dialihkan. Justeru, kebanyakan mangsa yang terbenam ke dalam tanah di
bawah batu itu sukar untuk dibawa keluar.
Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Kamaruddin Isa, tiba di
kawasan berkenaan kira-kira jam 3 pagi selepas bergegas pulang dari
Kuala Lumpur sebaik dimaklumkan tragedi berkenaan.
Berjam masa berlalu, matahari pagi mula menjelma tetapi gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Bagaimanapun, kesukaran yang teramat menyebabkan pihak berkuasa terpaksa
mengambil keputusan untuk menghentikan gerakan mencari tidak lama
selepas itu sekali gus membiarkan mayat yang belum ditemui terus berada
di bawah batu gergasi berkenaan.
Berdasarkan laporan selepas kejadian, 12 mayat ditemui selepas usaha
menggali dilakukan manakala kira-kira 30 lagi mayat, sebahagian besarnya
keturunan India dipercayai masih tertanam di bawah batu besar itu dan
gagal di bawa keluar sehingga kini.
Kematian akibat tragedi antara paling tragik di negara ini itu tidak
saja mengorbankan kira-kira 42 nyawa manusia tetapi kira-kira 60 ekor
lembu dan kambing yang dikurung di kandang yang turut tertimbus dihempap
batu gergasi.
Kejadian itu menyebabkan kerajaan membuat keputusan memindahkan 120
penduduk yang masih tinggal di Kampung Kachang Putih itu ke tempat lain
selepas menyedari yang lokasi itu tidak lagi selamat untuk diduduki.
Sebahagian besar mereka kemudian berpindah ke kawasan penempatan baru di Buntong, Ipoh tetapi nama Kampung Kacang Putih
dikekalkan.
Selepas 37 tahun tragedi itu berlalu, bongkah batu besar itu masih berada pada kedudukan seperti ketika kejadian itu berlaku.
Ia kekal sebagai 'batu peringatan' bagi mengingati betapa tragisnya
kejadian ngeri itu selain sebagai 'nesan' buat kira-kira 30 mangsa yang
masih 'terkubur' di bawahnya.
0 komentar:
Post a Comment