Kren terpaksa digunakan untuk mengalih kepala kereta api yang tergelincir dan berpusing. |
Kemalangan pada 27 November 1981 di Permatang Tinggi ini telah meragut 17 nyawa.
Ketika penduduk sekitar lintasan kereta api Permatang Tinggi, kira-kira
10 kilometer dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang lena diulit mimpi,
kira-kira jam 1 pagi mereka dikejutkan dengan dentuman kuat kereta api
merempuh sebuah bas sewa khas yang melintas landasan.
Suasana kemudian berubah menjadi hiruk pikuk dan orang ramai mula
mengerumuni kawasan kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa
kemalangan ngeri yang meragut 17 nyawa pada 27 November 1981. Selepas 27
tahun berlalu, pastinya penduduk sekitar dan mangsa kemalangan yang
terselamat tidak dapat melupakan tragedi itu.
Bas rombongan membawa sebahagian besar gadis belasan tahun dikatakan
menuju ke Pulau Pangkor, Perak untuk berkelah. Bagaimanapun, impian
mereka datang jauh dari Kedah menjadi mimpi ngeri apabila bas yang
dinaiki dirempuh kereta api seberat 700 tan.
Ketika kejadian, pemandu kereta api, Mohamad Saman Hussein, 49, bersama
pembantunya, Rosdi Jalil, 32, dan seorang pengawal Abdullah Saiby, 42,
dikatakan sudah membunyikan hon amaran beberapa kali ketika menghampiri
kawasan lintasan berkenaan.
Bagaimanapun, amaran awal itu mungkin tidak disedari pemandu bas yang
dikatakan meneruskan perjalanan sedangkan amaran hon itu sudah
dibunyikan ketika kereta api membawa 25 gerabak barang berada kira-kira
setengah batu (800 meter) sebelum kawasan lintasan.
Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit. |
Sebaik saja melihat bas itu meneruskan perjalanan, pemandu kereta api
dikatakan cuba membrek tetapi gagal kerana gerabak tidak mampu
dihentikan serta merta dan terus meluru merempuh bas sarat dengan
penumpang itu.
Kebiasaannya, sebuah kereta api yang bergerak laju hanya akan berhenti selepas jarak kira-kira suku batu selepas ditekan brek.
Akibat rempuhan itu, bas rombongan hancur, mayat bergelimpangan di kiri
kanan landasan sejauh 150 meter. Suasana digambarkan hiruk pikuk dengan
jeritan mangsa yang masih hidup dan kesakitan akibat tersepit.
Enjin dan enam gerabak kereta api itu tergelincir akibat rempuhan kuat
hinggakan kepalanya berpusing ke arah bertentangan, seolah-seolah ke
Pulau Pinang, sedangkan ia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Petugas membawa gergaji besi untuk memotong rel landasan yang rosak. |
Bahagian depan bas tersangkut pada enjin depan kereta api manakala
bahagian lain berkecai dan pecah. Ratusan penduduk, polis dan pasukan
bomba dan penyelamat bertungkus lumus hingga ke pagi membantu
mengeluarkan mayat serta mencari mangsa terselamat.
Empat belas penumpang mati di tempat kejadian, dua mati di Hospital
Besar Pulau Pinang (HBPP) dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke
hospital. Penumpang yang parah dihantar ke hospital sama manakala yang
cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital daerah
berdekatan.
Kemalangan itu dikatakan antara paling dahsyat membabitkan kereta api
merempuh bas di lintasan kereta api selepas kejadian di Sungai Lemal,
Pasir Puteh, Kelantan pada Mac 1972 yang mengorbankan 14 nyawa penumpang
bas.
Bas rombongan itu dikatakan bertolak dari Alor Setar, Kedah pada petang
sebelum kejadian dan merancang ke Pulau Pangkor untuk berkelah.
Namun, malang menimpa rombongan itu apabila pemandu bas, Lim Kooi Min,
28, dari Gua Chempedak, Kedah dikatakan tidak berhenti di perhentian
sebelum lintasan kerana lintasan itu tidak berpagar.
Sebelum itu, Keretapi Tanah Melayu (KTM) dikatakan sudah mengesyorkan
kepada kerajaan Pulau Pinang supaya lintasan berkenaan dipasang pagar
sejak Mei tahun yang sama.
Mungkin juga pemandu bas itu tidak dapat melihat papan tanda amaran
berhampiran lintasan kerana keadaan gelap. Kira-kira 60 ela (55 meter)
dari tempat kejadian, terdapat sebuah papan tanda amaran dalam empat
bahasa yang ditulis '- 'lintasan kereta api, melintasinya adalah
tanggungjawab sendiri'.
Ketika rempuhan berlaku, terdapat sebuah lagi bas sekolah sewa khas di
belakang bas yang dilanggar kereta api, dipercayai rombongan yang sama
dalam perjalanan ke Pulau Pangkor.
INFO : Nahas kereta api langgar bas.
Pasukan penyelamat menggunakan lampu suluh mencari mayat, ada tanpa kaki, kepala dan tangan
Kereta api barang seberat 700 tan itu membawa 25 gerabak.
Pemeriksaan pakar mendapati lampu kereta api memang dipasang ketika kejadian.
Pemasang alat laju juga diperiksa dan mendapati ia merekodkan kelajuan antara 28 hingga 29 batu sejam ketika rempuhan berlaku.
Nilai kerosakan akibat kemalangan dianggarkan RM120,000.
Perjalanan kereta api tergendala sementara dan hanya penumpang dari
Butterworth dibenarkan bergerak menaiki bas melalui Jalan Nibong Tebal
sebelum menaiki kereta api di situ untuk ke destinasi ke Selatan.
Kira-kira 100 pekerja bertungkus lumus membaiki landasan yang rosak.
sumber
0 komentar:
Post a Comment