Wednesday, March 17, 2010

Pentingkah Dara?

Isu ini merupakan isu yang paling jarang diperbincangkan secara terbuka. Ini mungkin disebabkan sikap masyarakat kita yang masih menganggap ia sebagai isu peribadi yang boleh mengaibkan terutama kepada golongan wanita.

Walaubagaimanapun, apa yang bakal dikupas oleh penulis bukanlah perkara yang berkaitan dengan kejadian biologi seorang gadis, tetapi isu yang berkaitan dengan kesucian dan kehormatan seorang gadis. Ini kerana,

selain isu sosial, ia juga berkaitan dengan salah satu institusi yang penting dalam Islam – perkahwinan. Kecenderungan penulis merenung isu ini datang dari

pengalaman peribadi selama satu dekad.



Dalam Islam, ketika memilih calon isteri, seseorang pemuda

digalakkan mencari seorang gadis. Alasan yang diberikan adalah gadis lebih

menghiburkan dan sama-sama belajar bergurau senda. Sedangkan seorang janda sudah mempunyai pengalaman dan memori dengan bekas suaminya dulu. Hakikat ini diperkukuhkan lagi apabila peminangan seorang gadis berbeza dengan cara

peminangan seorang janda. Seorang gadis tertakluk atas nasihat dan

kawalan bapanya atau walinya sementara seorang janda dianggap mampu berdikari

dan membuat keputusan sendiri mengenai calon suaminya.



Namun begitu pada dasarnya tidak ada halangan untuk seorang pemuda

untuk memilih sama ada seorang gadis perawan atau seorang janda sebagai

bakal isterinya dan Islam sendiri tidak meletakkan syarat kepada teruna

untuk memilih gadis atau janda, Cuma digalakkan memilih gadis - dan ini

adalah isu hati lelaki semata-mata.



Dalam kehidupan realiti, bagaimanapun ada lelaki yang sangat

menitikberatkan soal dara. Bagi mereka, dara menjamin kebahagian dan

kepuasan. Pada hemat penulis, lelaki jenis ini tidak arif tentang

kedudukan yang sebenar. Lelaki ini mementingkan nafsu dan menafsirkan dara

sebagai satu kejadian biologi pada jasad seorang perempuan. Menurut sumber ilmu

kesihatan, kejadian selaput dara ini sangat sensitif dan mudah pecah.

Kehilangan dara tidak semestinya seorang gadis itu telah melakukan

hubungan jenis. Mungkin ada aspek lain seperti kemalangan atau sakit yang

menyebabkan seseorang itu kehilangan dara. Pada hemat penulis, kehilangan dara

dalam maksud ini tidak melibatkan kehilangan kesucian atau kehormatan seorang

gadis. Oleh itu, penulis tidaklah berminat untuk memanjangkan aspek

ini. Kita lebih cenderung melihat dari sudut harga diri seorang gadis. Terus

terang kita nyatakan, isu dara dalam artikel ini maksudnya hubungan

seksual sebelum perkahwinan (zina) akibat meluasnya pergaulan bebas dalam

masyarakat kita.



Oleh itu awal-awal lagi penulis menyatakan isu ini adalah isu sosial

bukannya isu peribadi atau isu dikalangan wanita sahaja. Keadaan ini

menjadi lebih kompleks apabila batas pegaulan bebas di kalangan remaja dan

belia kita menjadi kian longgar. Pada waktu yang sama, bagi menghadapi gejala

seks sebelum nikah, sudah kedengaran di kalangan lelaki teruna bahawa ‘dara

itu sudah tidak penting’. Yang penting bagi mereka ialah kasih sayang,

kesetiaan, kejujuran dan hormat menghormati antara suami isteri. Lagi

pun apabila seseorang gadis yang pernah terlanjur sudah bertaubat dan

insaf, maka isu itu sudah tidak timbul lagi.



Penulis percaya ramai orang bersetuju dengan hujah di atas. Oleh itu

kita akan tertanya-tanya perlukah lagi soalan ‘apakah dara itu penting?’.

Sekali lagi kita harus bersabar dan berfikir lebih halus dan mendalam.

Pandangan di atas samalah dengan pandangan lelaki yang menafsirkan dara sebagai kejadian biologi pada perempuan. Kedua-dua pandangan itu masih bersifat peribadi. Isu sosialnya ialah apabila masyarakat (generasi muda) mula menganut idea bahawa dara itu tidak penting maka secara tidak langsung merebak pula idea seks sebelum nikah itu sesuatu yang boleh diterima. Jika idea ini

dianuti secara meluas, bukan isu dara yang perlu diatasi tetapi isu zina dan

pergaulan bebas.



Dalam masyarakat barat yang bebas pergaulannya – sekurang-kurangnya

seperti yang digambarkan melalui filem atau novel remaja - soal dara

atau virginity sudah dianggap remeh.



Malah sebenarnya ia dianggap sebaliknya. Dalam masyarakat kita atau

masyarakat timur yang asal seseorang gadis yang tidak dara (sudah

melakukan hubungan seks) dipandang rendah dan dicemuh. Lelaki teruna mengelak

diri dari mengambilnya sebagai isteri. Ibu bapa si gadis berasa sangat malu.

Gadis itu sendiri berasa bersalah dan berasa tertekan dan sedaya upaya

menyembunyikan rahsia itu sehinggalah ke saat akhir (seperti kepada

tunang atau suaminya). Tetapi masyarakat barat melihat soal dara sebaliknya.

Sesiapa yang masih dara dianggap mentah dan naif. Seseorang gadis yang

pernah melakukan hubungan seks – selalunya ketika berusia belasan tahun

dianggap matang. Gadis ini layak dianggap wanita (woman) bukan lagi

anak-anak perempuan (girl). Akibatnya, seseorang gadis yang tidak

mempunyai pasangan lelaki atau gagal memujuknya melakukan aktiviti seksual

mengalami tekanan perasaan dan penyisihan sosial remaja.



Secara sedar atau tidak apabila unsur budaya asing dan bahan lucah

tersebar dengan bebas, masyarakat kita kini sedang menganuti idea yang

sama.

Tiada siapa yang tahu. Hanya sekelompok remaja dan belia yang

mengetahui. Siapa tahu secara perlahan-lahan idea atau nilai generasi muda terhadap dara sudah berubah mengikut idea remaja barat?



Secara kesimpulannya apa yang hendak disampaikan oleh penulis ialah

berkenaaan runtuhnya institusi sosial kita. Remaja terutama gadis tidak

lagi menghiraukan tentang kesucian diri mereka. Gejala pergaulan bebas

semakin berleluasa. Pihak media pula seakan jaguh dalam memperkenalkan budaya yang tidak sesuai dengan norma-norma kehidupan kita sebagai seorang Islam. Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?



Rasanya kita semua sedia maklum.

0 komentar:

Post a Comment


Top