Thursday, August 11, 2011

Kereta Curi Malaysia Di Israel

PELABUHAN KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan kerjasama polis berjaya mengesan dan membawa pulang 25 buah kereta curi jenis Honda City bernilai RM2 juta yang berada di Pelabuhan Haifa, Israel, baru-baru ini.



Kesemua kereta itu yang dimuatkan di dalam lima buah kontena ditemui pada 4 Julai lalu dan dibawa pulang ke Pelabuhan Barat di sini pada pukul 11.30 malam, 27 Julai lalu.



Penemuan semua kereta itu adalah susulan kejayaan polis menumpaskan sindiket curi kereta, Black Water di Klang pada 30 Jun lalu yang menyaksikan 98 buah kereta mewah yang bakal diseludup ke Kepulauan Cyprus dirampas dan empat anggota sindiket terbabit diberkas.



Pengarah KDRM Selangor, Datuk Azis Yacub berkata, lima kontena yang memuatkan kereta curi tersebut sebelum ini diikrar mengandungi peralatan perabot kayu dan dibawa keluar dari pelabuhan negara pada 25 Jun lalu.



Beliau berkata, bertindak atas pemantauan, pihaknya telah mengesan kapal yang mengangkut kontena-kontena itu yang berlabuh sementara di Pelabuhan Haifa sebelum dibawa ke Kepulauan Cyprus.



"Selepas pemeriksaan rapi bersama polis dibuat terhadap kesemua kontena tersebut pada 4 Ogos lalu, kita mendapati kesemua kereta tersebut telah dilapor dicuri di negara ini.



"Kita juga dapati syarikat itu sebenarnya hendak mengeksport 10 kontena tetapi hanya sempat melepaskan lima kontena sahaja.



"Kita menahan semula suspek yang sebelum ini telah diberkas polis semasa sindiket Black Water ditumpaskan bagi membantu siasatan dan sedang memburu dua lagi suspek," kata beliau pada sidang akhbar bersama polis di Wisma Kastam Pulau Indah di sini hari ini.



Menurut beliau, kes penemuan kontena-kontena terbabit disiasat di bawah Seksyen 133 (1) (a) Akta kastam 1967 (semakan 1980) iaitu membuat ikrar tidak benar ke atas dagangan.



Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, dengan penemuan kesemua kereta Honda City itu, pihaknya percaya telah menyelesaikan 25 kes curi kereta masing-masing 20 di Selangor, Kuala Lumpur (3), Negeri Sembilan (1) dan Melaka (1) yang kesemuanya dilaporkan hilang sejak Jun lalu.










Boleh saksikan video di bawah :D




0 komentar:

Post a Comment


Top