Tugu Negara terletak di sebelah Taman Tasik Perdana. Ianya dibina untuk memperingati askar-askar yang telah gugur dalam mempertahankan negara semasa zaman perang dan darurat pada tahun 1942-1960. Ia merupakan satu kumpulan tujuh patung atau lembaga gangsa, tiap-tiap satunya empat kali lebih besar daripada orang biasa terletak di atas satu asas yang bujur di tengah-tengah pulau dalam sebuah kolam. Pulau itu berbentuk bujur 130 kaki panjang dan 96 kaki lebar. Asas tugu mula dibina pada Januari 1963 yang disalut dengan batu pejal bergilap yang berwarna zamrud daripada Sweden yang panjangnya 30 kaki, lebarnya 24 kaki dan tingginya 11 kaki 41/2 inci. Perbelanjaan untuk membinanya adalah RM1.3 juta. Tugu Pahlawan ini merupakan tugu terbesar di Malaysia. Di sebelah selatan tembok asas tugu terukir di kiri kanan lambang itu, di mana sebelah kanan adalah tulisan jawi dalam Bahasa Melayu dan sebelah kiri tulisan rumi dalam Bahasa Inggeris.
Patung-patung gangsa ini mewakili pelbagai Cawangan Pasukan Keselamatan, semuanya memakai pakaian seragam semasa dalam perang. Lima daripada lembaga menggambarkan Pasukan Keselamatan yang beroleh kemenangan. Lembaga yang di atas sekali, satu-satunya yang tiada senjata memegang sebatang tiang bendera yang di hujungnya berkibar bendera Malaysia. Upacara menaikkan bendera diadakan setiap hari di mana tiga orang anggota angkatan tentera meniup bagol lagu Last Post sambil seorang askar akan menaikkan bendera perlahan-lahan. Pada sebelah petang upacara yang sama dilakukan untuk menurunkan bendera itu. Di bawah sekali terdapat dua lembaga terbaring iaitu melambangkan mayat dua orang pengganas komunis.
Bagi menambah keindahan tugu ini, kolam separuh bulat telah dibina di kiri dan kanannya. Di dalam kolam itu, terdapat bunga teratai yang diperbuat daripada timah putih dan hitam dari Selangor dengan pancutan air yang boleh bertukar warna. Kawasan taman di sekeliling Tugu ditanam dengan pelbagai jenis pokok yang terdapat di Malaysia seperti pokok cemara, tembusu, kemboja dan sebagainya. Tugu tersebut lebih menarik lagi dengan adanya air terjun rekaan manusia sepanjang 165m yang mengalir dari atas bukit ke dalam 4 kolam yang pelbagai bentuk.
Tugu Peringatan ini dibina bagi mengingatkan kita kepada perwira-perwira yang telah terkorban mempertahankan tanah air semasa peperangan Dunia Pertama dan Kedua. Idea awal pembinaan tugu ini diusulkan oleh Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj pada tahun 1960 setelah beliau melawat Tugu Perang Iwojima di Amerika Syarikat. Ia telah direka oleh pengukir terkenal Amerika Syarikat, Felix de Weldon. Patung tersebut telah dibuat di Itali dan dihantar khas ke negara kita sebaik sahaja ia disiapkan.
0 komentar:
Post a Comment