Wednesday, March 16, 2011

Banyak Bercakap Serlah Kelemahan

SESEORANG Muslim mesti memelihara lidahnya daripada menuturkan kata-kata

tidak berfaedah, percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu-domba.



Rasulullah SAW memberi banyak ingatan mengenai perkara itu dan antaranya,

sabda Baginda bermaksud: “Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam

neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya.” (Hadis riwayat

at-Tirmizi)




Rasulullah juga bersabda bermaksud: “Bukanlah dia seorang mukmin (jika)

dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji.” (Hadis riwayat

at-Tirmizi)



Pesan Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah

kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa

yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.”

(Diriwayatkan oleh Baihaqi)



Imam Nawawi ketika membicarakan hal yang sama berkata, ketahuilah,

seseorang mukalaf itu sewajarnya menjaga lidahnya daripada sebarang

percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan.



Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut

sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri.



Percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh.



Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari

kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau

tidak, hendaklah diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).



Hadis di atas membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu

sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata, hanya kepada perkara yang

memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain.



Jika tidak dapat memberi sesuatu yang membawa kebaikan, maka adalah lebih

baik berdiam diri saja.



Rasulullah ditanya mengenai kelakuan yang paling banyak memasukkan

seseorang ke dalam syurga.



Jawab Baginda: “Takwa kepada Allah dan keindahan akhlak.”



Ketika Baginda ditanya apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam

neraka? Baginda menjawab: “Kejahatan mulut dan kemaluan.”



Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: “Sesiapa mengawal lidahnya (daripada

memperkatakan kehormatan orang), maka Allah akan menutup kecelaannya (hal

yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan

melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya

kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya.”

(Hadis riwayat Ibnu Abib-Dunya).



Ibnu Abid-Dunya meriwayatkan, Rasulullah bersabda bermaksud: “Tidak akan

lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan

lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan

masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya.”



Begitulah pentingnya seseorang itu memelihara lidahnya daripada percakapan

yang buruk, keji dan tidak mendatangkan faedah.



Allah mengurniakan umatnya dengan sebaik-sebaiknya nikmat dan nikmat lidah

yang diberikan, hendaklah digunakan ke jalan yang diredai-Nya.



Sumber : Syok.org

0 komentar:

Post a Comment


Top