Thursday, April 15, 2010

Info Mengenai Haid Bermasalah

Apakah jenis-jenis gangguan haid?
Seperti keadaan lain dalam tubuh manusia, haid juga mengalami beberapa masalah;
1. Berbagai jenis gangguan pusingan haid.
2. Banyaknya darah haid yang keluar.
3. Jangka waktu haid yang berpanjangan.
4. Pendarahan yang tidak tentu masa , seperti lepas persetubuhan.
5. Kesakitan sebelum, semasa atau selepas haid.
6. Kelewatan datang haid.
7. Putus haid.

Gangguan haid berlaku kerana berbagai-bagai punca seperti tekanan jiwa dan emosi, keadaan hormon yang tidak seimbang, kehamilan, penyusuan, kegunaan hormon, penyakit dalam kelenjar pituitary atau ovary atau ketumbuhan seperti barah dalam rahim atau pangkal rahim.

Haid tidak teratur !
Apakah yang dimaksudkan pusingan haid yang tidak teratur?
Pusingan haid yang tidak teratur, ialah pusingan yang kurang daripada 25 hari atau lebih daripada 35 hari. Ini dianggap tidak teratur, ada setengah wanita haidnya datang dua atau tiga bulan sekali. Keadaan ini sering berlaku dikalangan anak anak gadis yang baru masuk ke alam remaja atau wanita yang hampir putus haid. Keadaan ini bukanlah satu penyakit tetapi hanya disebabkan oleh gangguan hormon walaupun wanita yang mengalami masalah ini adalah kurang subur kerana ia kurang mengeluarkan benih. Kegemukkan (obesity) merupakan punca penting yang menyebabkan pusingan haid menjadi terlambat atau jarak yang berpanjangan , mungkin jarak 6 – 9 bulan atau lebih. Keadaan ini sering dikaitkan dengan ketidaksuburan. Ada dikalangan mereka yang tumbuh rambut pada kaki atau misai. Apabila dilakukan vaginal ultrasound kedua ovari mereka didapati bengkak (Polycystic ovary).

Bagi seseorang yang perjalanan haidnya tetap dan teratur, gangguan pusingan haidnya bermakna sesuatu perkara sedang berlaku. Salah satu puncanya ialah kehamilan. Apabila kehamilan terjadi haid dengan tersendirinya akan berhenti. Wanita yang menyusukan anak juga mendapati perjalanan haidnya terganggu. Ketika penyusuan bayi, hormon susu (Prolactin) meningkat dalam aliran darah ibu. Peningkatan paras hormon susu (prolactin) juga boleh disebabkan oleh ketumbuhan dalam kelenjar pituitary menyebabkan haid tidak datang atau datang sekali-sekala sahaja. Wanita demikian juga sering kurang subur. Gangguan hormon mungkin juga boleh berpunca dari ketumbuhan dalam kelenjar ovari. Ketegangan rohani atau tekanan jasmani seperti kesedihan oleh sebab kematian ibu bapa atau yang lainnya, boleh juga melambatkan kedatangan haid.

Haid Berlebihan dan berpanjangan !
Beberapa punca boleh menyebakan keadaan demikian dan diantaranya:

1. Tumbuhan bukan kanser. Wanita yang mengalami keluaran darah haid yang berlebihan atau berpanjangan daripada biasa, menandakan sesuatu penyakit khususnya jika keluaran darah haid yang banyak disertai dengan senggugut.Gangguan haid seperti ini jika melibatkan wanita dalam usia 30 tahun hingga 50 tahun keatas, mungkin menandakan sesuatu penyakit tumbuhan bukan kanser pada pangkal rahim seperti ‘cervical polyp’ atau dalam rahim saperti ‘fibroid’ atau ‘Adenomyosis’.
2. Kanser Pangkal Rahim. Tetapi apa yang lebih menakutkan lagi ialah tumbuhan kanser rahim atau pangkal rahim.
3. Penggunaan alat perancang keluarga. Wanita yang menggunakan alat dalam rahim (IUD) juga boleh mengalami masalah pendarahan yang berpanjangan dan berlebihan. Mereka yang menggunakan kaedah suntikan atau ‘implant’ hormon sebagai cara mencegah kehamilan kadang kala mengalami maslah perdarahan sedikit demi sedikit dan berpanjangan pula.
4. Kehamilan luarbiasa. Keadaan ini mungkin juga menandakan kandungan yang terancam nak gugur (Threatened abortion), keguguran, kandungan anggur (molar pregnancy), kehamilan diluar rahim.

Perdarahan Luarbiasa!
Berbagai bentuk perdarahan yang luarbiasa boleh berlaku, diantaranya ialah ;
1. Pendarahan boleh berlaku pada pertengahan pusingan haid (intermenstrual bleeding), sebelum haid (premenstrual staining) atau selepas haid (postmenstrual staining) dan ini mungkin sedikit sahaja dan tidak memerlukan tuala wanita. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh masalah ketidak-seimbangan hormon atau mungkin juga disebabkan oleh tekanan jiwa atau emosi. Wanita yang mengamalkan kaedah cegah hamil yang mengandungi hormon seperti pil perancang boleh mengalami masalah seperti ini. Begitu juga dengan penggunaan ubat hormon untuk rawatan penyakit pada anggota peranakan. Ia juga mungkin menandakan sesuatu ketumbuhan atau jangkitan kuman pada kemaluan dan anggota peranakan. Setiap wanita yang mengalami pendarahan yang luar biasa dan tidak tentu masa perlu mendapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor.

2. Perdarahan selepas persetubuhan. Ini adalah satu tanda yang merbahaya kerana ia mungkin menandakan penyakit kanser pangkal rahim khususnya jika ia berlaku pada wanita dalam lingkungan umur 30 puluhan dan telah berkahwin dan telah mendapat anak. Pendarahan selepas persetubuhan juga mungkin disebabkan oleh penyakit lain yang bukan kanser seperti luka pada pangkal rahim (cervical erosion), ketumbuhan bukan kanser atau jangkitan kuman. Pemeriksaan daripada doktor khususnya ujian ‘pap smear’ adalah sangat penting.

3. Perdarahan lepas putus haid. Wanita yang telah putus haid dan mengalami pendarahan perlulah berhati-hati kerana ia mungkin menandakan sesuatu penyakit yang merbahaya seperti kanser dalam rahim. Tidak semua pendarahan seperti ini disebabkan oleh kanser. Pendarahan ini mungkin disebabkan oleh suatu keadaan dalam faraj yang kekeringan iaitu “atrophic vaginitis” iaitu satu keadaan yang disebabkan oleh kekurangan hormon oestrogen.

0 komentar:

Post a Comment


Top