MALAM Lailatul Qadar adalah malam penuh keistimewaan yang hanya berlaku  pada Ramadan setiap tahun. Pada malam tersebut Allah menganugerahkan  keberkatan, kemuliaan, rahmat dan kesejahteraan khusus untuk umat Nabi  Muhammad s.a.w.
 Bagi umat Islam yang berpuasa dan berusaha mencari keistimewaan malam  Lailatul Qadar dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:  “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam Al-Qadar.  Tahukah kamu apakah malam Al-Qadar itu? Malam yang lebih baik daripada  seribu bulan, turunnya malaikat dan roh (Malaikat Jibril) pada malam itu  dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan, malam itu penuh  selamat sejahtera hingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadar 1-5) Walaupun  ayat ini diturunkan, namun Allah tidak menerangkan secara terperinci  waktu kedatangan Lailatul Qadar. Umat Islam digalakkan supaya sentiasa  memperbanyak amalan salih terutama pada sepuluh malam terakhir.  Dijelaskan nilai keutamaan yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu  apabila tibanya Lailatul Qadar. Mencari keistimewaan Lailatul Qadar  mestilah bermula daripada awal pertama puasa sehinggalah ke malam  sepuluh terakhir Ramadan.
 Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sabda baginda: “(Iaitu) ada pada  Ramadan, oleh itu, hendaklah kamu mencarinya pada 10 hari terakhir.  Disebabkan ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau  malam 23 atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29 serta pada malam  terakhirnya.” (Riwayat Ahmad) Dalam memberi pengertian Al-Qadar, ulama  dan ahli tafsir mempunyai pendapat berbeza, antaranya ialah menurut  Az-Zuhri, Al-Qadar bererti keagungan, kebesaran, kemuliaan atau  kedudukan. Sementara menurut Sayyid Qutb dalam Tafsir Zilalil Quran  bahawa Al-Qadar bererti takdir, ketentuan, ketetapan atau nilai.
 Menurut pandangan dan pendapat Prof Dr T M Hasbi As-Siddiqiy memberikan  erti Lailatul Qadar sebagai malam penuh berkat yang mempunyai  keistimewaan, malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bahkan seumur  hidup manusia.
 Dalam hal ini, Drs Hanafi Mohammad menjelaskan, dalam bukunya  Keistimewaan Malam Lailatul Qadar, sesungguhnya malam Lailatul Qadar ada  rahsia Allah yang dapat disimpulkan sebagai malam perhubungan mutlak  antara langit dan bumi dengan ketentuan Allah. Malam Lailatul Qadar juga  terjadi suatu peristiwa besar yang belum diperlihatkan oleh bumi dari  segi dalil, keagungan dan kesannya terhadap kehidupan manusia.
 Pada malam Lailatul Qadar dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah  yang menjadi rahmat besar daripada Allah untuk dianugerahkan kepada  manusia.
 Seterusnya, malam Lailatul Qadar adalah suatu malam agung, tidak dapat  dijangkau oleh kemampuan berfikir manusia yang amat terbatas untuk  mencapainya.
Keistimewaan malam Lailatul Qadar ini, Allah menurunkan al-Quran pertama  kali kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s.  Melalui wahyu itulah Nabi Muhammad diangkat Allah menjadi Rasul seperti  firman-Nya: “Ramadan, bulan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai  petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza  antara yang hak dan batil.” (Al-Baqarah: 185) Pada malam tersebut juga  turunnya malaikat membawa rahmat daripada Allah. Pada malam berkenaan  Allah memberi penghormatan, kerahmatan dan kesejahteraan kepada  hamba-Nya sampai terbitnya fajar. Orang Islam daripada umat Nabi  Muhammad akan memperoleh keampunan dosa daripada Allah, memperoleh  rahmat yang besar daripada Allah, memperoleh balasan syurga daripada  Allah dan mendapat pujian, kasih sayang, ampunan dan kemuliaan.
Bagi mendapatkannya hendaklah menghidupkan malam dengan beribadat kepada  Allah iaitu mendirikan solat malam, berdoa, berzikir, bertadarus dan  membaca al-Quran. Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Aisyah r.a.  katanya: “Adalah Rasulullah bersungguh- sungguh beribadat pada malam  yang akhir, apa yang tidak dilakukannya pada puluhan malam yang lain.”  (Riwayat Muslim) Membangunkan ahli keluarga menjelang sepuluh malam  terakhir untuk mengerjakan solat malam seperti dilakukan Rasulullah  dengan membangunkan keluarganya. Nabi mengikat tali pinggangnya yang  bermaksud tidak melakukan persetubuhan dengan isterinya dan sentiasa  beriktikaf pada sepuluh malam terakhir.
Oleh sebab kemungkinan datangnya malam Lailatul Qadar itu adalah pada  salah satu daripada malam yang akhir, maka dianjurkan untuk mandi antara  Maghrib dan Isyak, kemudian memakai pakaian bersih dan indah.  Memperbanyakkan beriktikaf dalam masjid pada sepuluh malam akhir  Ramadan.
Jelaslah, tiada malam yang dapat menandingi kelebihan dan kehebatan  malam Lailatul Qadar. Oleh itu, berusahalah untuk mendapatkannya dengan  memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah. Walau bagaimanapun,  keseluruhan Ramadan adalah bulan sangat istimewa yang belum tentu kita  dapat merebut peluang beribadat pada tahun akan datang.